Rabu, 1 April 2009

TEMU BUAL EKSKLUSIF

TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA FINALIS DEBAT INTEGRITI PERDANA 2006: UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)

Sempena Pertandingan Akhir Debat Integriti Perdana 2006 yang berlangsung pada 13 Julai 2006, pihak akademidebat.com telah berkesempatan menemubual salah sebuah pasukan yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir iaitu UTM.

UTM diwakili oleh Khairul Afsan Abu Bakar (KA), Mohd Zaki Ismail (MZ), Sakinah Al-Mubarakah Muhamad (SM), dan Mohd Sharifudin Nazri. Berikut merupakan temubual tersebut:

akademidebat.com: Assalamualaikum. Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak akademidebat.com di atas kesudian anda semua menghadiri sesi temubual ini.

KA, MZ, SM: Waalaikumsalam. Sama-sama.

Pertama sekali, apakah perasaan anda apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir?

MZ: Lega dan gembira.

SM: Lega.

KA: Gembira. Kami berasa lega kerana harapan yang diletakkan kepada kami sangat besar kerana kami merupakan finalis pada tahun lalu, maka sudah pasti kami diharapkan mengulangi kejayaan tersebut pada tahun ini.

Secara keseluruhan, bagaimana anda melihat pasukan anda dalam Debat Integriti Perdana pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya?

KA: Memang ada perbezaan. Pada tahun lepas, kami menghantar sebuah pasukan yang kuat yang dibentuk untuk merebut kejuaraan. Tahun ini pula, kami membawa seorang pendebat junior untuk diserap ke dalam pasukan.

Gaya jagoan...Dari kiri: Afsan, Zaki, Sakinah

SA: Posisi kami juga kerap bertukar sepanjang perdebatan. Pasukan pada tahun ini boleh disifatkan sebagai pasukan eksperimen.

Sepanjang pertandingan ini, pasukan manakah yang paling sukar ditewaskan dan mengapa?

KA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami sentiasa bertemu dengan pasukan UIAM pada peringkat yang penting seperti suku akhir atau separuh akhir. Kalau pada pusingan awal, mungkin kami boleh memperlahankan rentak debat sekiranya kes sudah tidak memihak kepada kami. Tetapi apabila bertemu UIAM di peringkat kalah mati, kami perlu berusaha keras sehingga ke sesi akhir perdebatan iaitu penggulungan kes.

MZ: UIAM. UIAM merupakan sebuah pasukan yang mempunyai kualiti debat yang baik. Tambahan pula, rekod pertemuan kami dengan UIAM lebih memihak kepada UIAM, maka adalah penting untuk kami memenangi setiap perlawanan dengan UIAM.

SM: Selain daripada UIAM, pasukan lain yang sukar ditewaskan ialah Universiti Malaya (UM). UM merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai teknik debat yang berkesan. Apabila bertemu dengan UM, setiap hujah dan bidasan saling bertembung dan mewujudkan perdebatan yang sangat sengit.

Tiga pendebat yang bakal membawa cabaran UTM pada Pertandingan Akhir Debat Integriti Perdana 2006, 13 Julai 2006:

Dari kiri - Sakinah al-Mubarakah Muhamad, Khairul Afsan Abu Bakar, dan Mohd Zaki Ismail

Apakah kelemahan pasukan (atau individu) yang telah dikesan sepanjang Debat Integriti Perdana pada tahun ini? Bagaimana kelemahan ini boleh diperbaiki menjelang pertandingan akhir?

KA: Yang paling penting, setiap komen hakim perlu diambil perhatian. Kelemahan yang jelas, bagi saya, ialah kaitan hujah dengan isu integriti yang masih lemah. Mungkin selepas ini, kami boleh menjelaskan lagi kaitan setiap hujah dan fakta dengan isu-isu integriti.

Secara peribadi, saya kadangkala mempunyai sedikit masalah dengan pembahagian masa. Sebagai pendebat kedua, saya perlu membidas dan pada masa yang sama, membentangkan hujah dan fakta. Apabila terlalu asyik membidas, masa untuk pembentangan hujah kadangkala terjejas.

MZ: Antara perkara yang boleh diperbaiki ialah dari segi kemasan hujah. Setiap fakta yang ingin dibentangkan mestilah difahami dengan baik untuk meningkatkan mutu penyampaian.

Sebagai pendebat pertama, saya juga perlu memberi perhatian yang lebih terhadap peraturan baru Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) yang menetapkan bahawa pendebat pertama bagi pihak pembangkang hanya boleh menerima atau menolak definisi yang diberikan oleh pihak kerajaan/pencadang. Konsep pindaan tidak lagi dibenarkan.

SM: Semua ahli pasukan perlu lebih memahami kehendak pihak penganjur, Institut Integriti Malaysia (IIM). Hujah perlu konsisten sepanjang perdebatan. Selaku pendebat ketiga, saya perlu meningkatkan lagi analisa terhadap hujah pihak lawan. Setiap bidasan perlukan jalan penceritaan yang jelas.

Apakah harapan anda untuk pertandingan akhir nanti?

KA: Saya berharap agar kami akan membawa pulang gelaran juara dengan persembahan yang baik. (Berjenaka) Persembahan kenalah baik, barulah tak diundi keluar.

MZ: Sudah tentu untuk menang. Walaupun tempat pertandingan akhir masih belum ditetapkan, saya berharap agar pertandingan tersebut dapat dianjurkan di UTM. Kemenangan yang diraih di hadapan penyokong sendiri adalah sesuatu yang amat berharga.

SM: Saya berharap agar kami dapat buat persembahan yang terbaik. Apabila selesai berdebat, moga-moga kami boleh berpuas hati walaupun keputusan belum diumumkan. Secara atas kertas, kedua-dua pasukan (UTM dan UM) ada kelebihan masing-masing dari segi struktur debat dan konsisten. Kami akan pastikan yang terbaik.

Kami mengucapkan selamat berjaya kepada anda semua. Semoga UTM mempersembahkan yang terbaik pada pertandingan akhir nanti.

KA, MZ, SM: Terima kasih.

Tiada ulasan: