Selasa, 1 Februari 2011

Teks Bahas Ala Parlimen (Menteri Kedua)

Soalan Contoh
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Rangka Karangan

Kata alu-aluan

Pendahuluan

- tolak pindaan usul oleh pembangkang – sokong definisi usul Perdana Menteri

Isi-isi Penting

i. bidasan terhadap pembangkang
ii. penguatkuasaan yang lemah
iii. wujudnya unsur rasuah

Penutup

- Pemantauan pihak berkuasa dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Teks Contoh
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,
Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi sepatutnya pihak berkuasa hendaklahlah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, suddah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Jadi, perkara pokoknya di sini, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,
Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan masyarakat tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,
Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan penyedia makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Tuan Yang Dipertua,
Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin. Sudah tentu, mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan sebagainya. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.
Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim

MENGANALISA USUL

Dalam perdebatan ala-Parlimen, terdapat beberapa kategori usul yang biasa diberikan untuk dikupas. Kategori usul secara umumnya dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu:

• Usul berasaskan fakta atau isu spesifik.
• Usul humor.
• Usul peribahasa atau simpulan bahasa

Usul berasaskan fakta atau isu spesifik

Usul berasaskan fakta menuntut pendebat mengupas isu berdasarkan keterangan fakta yang nyata bagi menyokong kes mereka. Pendebat perlu mengupas fakta dengan teliti menerusi kajian terhadap sesuatu isu berbangkit. Usul jenis ini merupakan usul yang nyata dan memerlukan pendebat berlawan dengan fakta yang dianalisa. Berikut merupakan tajuk usul yang diberikan mengikut tema spesifik seperti yang telah ditetapkan oleh penganjur:

o Kategori: Kemerdekaan.

Tajuk: Rakyat Malaysia Kurun ke 20 Tiada Semangat Patriotisme.

o Kategori: Sains dan Teknologi.

Tajuk: Teknologi Pengklonan Membawa Mudarat Kepada Kelangsungan

Manusia Sejagat.

o Kategori: Alam Sekitar.

Tajuk: Kemusnahan Alam Tragedi Malapetaka di Alaf Baru.

o Kategori: Kefahaman Islam.

Tajuk: Islam Hadhari suatu pendekatan baru menonjokan imej Islam
Sederhana.

o Kategori: Integriti.

Tajuk: Modal insan berintegriti menjamin kecemerlangan negara.

o Kategori: Ekonomi.

Tajuk: K-Ekonomi tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Tajuk yang seumpama ini merupakan tajuk yang mana pendebat perlu mengemukakan fakta menyokong terhadap pendirian masing-masing.


Usul Humor

Usul jenis ini menjurus kepada keadaan yang berjenaka dan santai serta mempunyai konsep yang ringan sahaja. Pendebat boleh memilih samaada untuk berdebat menggunakan konsep yang ringan atau kompleks. Contoh usul humor adalah:
o Nobita perlukan Doremon.

o Ultraman lebih gagah daripada Superman.

o Kumbang perlukan bunga.

o Mawi dan Ina perlu bersatu semula.

o Wanita perlukan lipstik.

o Kanak-kanak perlukan anak patung.

Dalam usul yang sebegini, terpulang kepada pasukan untuk berdebat secara santai mahupun mengupas isu dengan cara yang lebih kompleks. Contoh daripada tajuk yang di atas iaitu ‘Mawi dan Ina perlu bersatu semula’. Pendebat boleh terus berbincang kisah

Mawi iaitu Juara Akademi Fantasia 3 dan juga bekas tunangnya secara terus mengikut keadaan yang sebenar.
Dalam hal yang lain pula, jika pendebat merasakan usul perlu dibincangkan secara yang lebih komplek, pendebat boleh memperhalusi tajuk ini dengan menyamakannya dengan hubungan dua hala Malaysia-Singapura. Justeru, di sepanjang perdebatan, pendebat akan menyentuh soal kemungkinan penyatuan Malaysia dan Singapura, pro dan kontra, kebaikan serta keburukannya. Tentu sekali perincian perlu mengambilkira kenapa Mawi perlu di samakan dengan Malaysia dan Ina dengan Singapura atau sebaliknya.

Ada tajuk humor yang tidak boleh dibincangkan secara terus dan pendebat tiada pilihan selain mengupas tajuk tersebut terus kepada isu yang mempunyai perkaitan dengannnya. Contoh tajuk Kumbang perlukan bunga. Tidak mungkin seseorang pendebat ingin bercakap tentang kumbang dan bunga. Dalam hal ini, pendebat perlu terus merujuk kepada kes lain.

Pihak kerajaan berhak menentukan sama ada pasukan kerajaan ingin mengupas usul ataupun berdebat secara terus bersesuaian dengan usul. Justeru pihak pembangkang perlu mengikut landasan seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan.


Usul Peribahasa atau Simpulan Bahasa

Usul yang berupa peribahasa atau simpulan bahasa ini bertujuan menguji tahap kecekapan pendebat. Usul peribahasa dan simpulan bahasa selalunya tidak boleh didebatkan menurut penakrifan literal. Pendebat biasanya akan menggariskan sesuatu konsep tertentu untuk mengenengahkan landasan bagi membahaskan maksud simpulan bahasa dan peribahasa yang diperdebatkan. Kemahiran di perlukan untuk memahami makna peribahasa atau simpulan bahasa dengan tepat serta kemahiran mengupas dan meletak konteks lain yang relevan terhadap sesuatu isu yang berkaitan. Contoh usul simpulan bahasa atau peribahasa adalah:

o Dengar guruh di langit, air tempayan dicurah jangan.

o Rezeki secupak takkan jadi segantang.

o Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

o Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

o Kemusnahan Alam Sekitar: Sudah terhantuk baru terngadah.

o Badan Bukan Kerajaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar: Seperti melepaskan batuk di tangga.
o Melayu: Hidup segan, mati tak mahu. KUPASAN USUL
Dalam debat ala-Parlimen, pendebat perlu memahami apakah kehendak usul agar setiap kupasan tidak tersasar daripada landasan yang sebenar. Usul boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
• Usul perbandingan kebaikan dan keburukan.

• Usul realiti.

• Usul cadangan, futuristik atau andaian. Usul perbandingan kebaikan dan keburukan.
Usul sebegini meminta pendebat membuat perbandingan antara baik dan buruk juga lebih atau kurang. Frasa baik atau buruk serta lebih atau kurang itu dengan sendiri menyatakan bahawa wujud elemen perbandingan di dalam usul tersebut. Dalam usul perbandingan, sudah pasti ada dua entiti yang perlu dibandingkan. Contohnya, di antara A dan B, yang mana lebih cantik? Berikut adalah contoh tajuk yang menuntut pendebat melakukan perbandingan:
o Madonna lebih baik daripada Maradona.

o Survival bangsa: Kekuatan ekonomi lebih diperlukan daripada kekuatan politik.

o Wanita bukan pemimpin yang berkesan.

o Globalisasi lebih menguntungkan negara maju.


Usul realiti

Pendebat perlu membentangkan hujah berdasarkan keadaan yang berlaku pada masa ini. Segala penjelasan perlulah berdasarkan fakta kontemporari. Usul yang mengupas realiti memerlukan tahap penguasaan isu yang menyeluruh kerana pendebat perlu memanipulasi keadaan walau dalam apa cara sekalipun untuk kepentingan pasukan. Contoh usul yang memerlukan kupasan realiti:
o Sistem Pendidikan di Malaysia gagal memertabatkan negara di mata dunia.

o Industri Perfileman Negara gagal.

o Sekolah Kebangsaan berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Usul cadangan, futuristik atau andaian
Usul yang berkaitan cadangan meminta kupasan daripada pendebat berdasarkan bukti yang ada pada masa ini. Pendebat boleh mengeluarkan statistik semasa yang membuktikan bahawa cadangan usul tersebut boleh diterimapakai atau tidak pada masa yang akan datang. Usul seumpama ini adalah berdasarkan andaian pendebat melalui sokongan dan bukti yang kuat terhadap kes yang dibentangkan. Contoh usul andaian adalah:

o Pertubuhan Persidangan Islam perlu dirombak semula.

o Tulisan Jawi perlu diwajibkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan.

o Malaysia tidak mampu menyertai Piala Dunia.

o Sesekali, kita perlu menoleh ke belakang.

Malu Nak Memulakan Perbualan?

Tentu antara kita malu untuk memulakan perbualan. Rasa tak tahu nak mulakan bagaimana. Dalam hati dan fikiran seakan-akan membeku & membisu. Semua manusia pasti mengalami pengalaman dan perasaan begini. Situasi begini adalah normal.
Perkataan pertama yang dikeluarkan sangat penting. Ia menggambarkan perasaan seseorang ketika itu. Jangan tersalah untuk memilih perkataan yang bakal dilontarkan. Perkataan akan terpacul di mulut hasil daripada gelodak di jiwa dan fikiran di minda.

Dibawah ini diperturunkan tujuh (7) petua untuk memulakan perbualan. Lakukan sekarang. Pasti anda disukai oleh ramai kawan dan lawan. Percayalah.

1) Berikan ucapan salam bagi umat Islam, hi dan hello bagi bukan Islam. Persoalan pertama yang perlu diajukan adalah APA KHABAR?

2) Lemparkan SENYUMAN yang paling manis dan ikhlas. Senyuman yang paling menawan adalah dengan membuka mulut sedikit dan menampakkan gigi. Senyuman yang ikhlas adalah dengan menaikkan pipi ke atas dan mata dalam keadaan mengecil sambil mulut terbuka sedikit.

3) BERJABAT TANGAN sesama jantina. Perlakuan ini menampilkan kemesraan dan keterbukaan kita kepada orang yang kita ajak berbual.

4) MEMPERKENALKAN NAMA SENDIRI. Dengan rasa rendah diri kita memperkenalkan nama penuh kita atau nama yang ingin kita panggil (nama panggilan mesra).

5) GUNAKAN KATA GANTI NAMA YANG BETUL. Pilihlah kata ganti nama yang betul pada tempat yang betul dan pada masa yang betul, seperti saya, awak, dan kamu.

6) BUANGKAN SIKAP KENEGERIAN ATAU BERRPUAK-PUAK. Tak perlu kita berasa bangga dengan dari mana kita berasal. Manusia adalah sama di sisi Tuhan. Yang perlu dibanggakan adalah kita adalah manusia yang hebat diciptakan oleh Tuhan dalam bahan dan acuan yang sama.

7) AKHIRI PERTEMUAN DENGAN KEGEMBIRAAN. Ucapkanlah perkataan seperti SAYA GEMBIRA BERTEMU DENGAN AWAK. Pasti orang yang kita ajak berbual berasa dirinya dihargai.

Untuk mendapat keberkesanan petua di atas, anda perlulah memulakannya daripada sekarang. Tak perlu kita bertangguh lagi. Saya percaya anda pasti disukai oleh ramai orang. Secara tak langsung anda akan dikenali ramai. Percayalah dengan kehebatan yang ada pada diri anda. Teruskan...

Tampil Hebat, Yakin dan Disegani Dengan Menguasai Kemahiran Pengucapan Awam Kreatif di Latihan Bicara Bestari

Salam kecemerlangan kepada semua rakan-rakan pembaca sekalian,
Sejak akhir-akhir ini, saya sering disapa oleh ramai teman dan kenalan dengan soalan-soalan berikut:
"Macamana nak jadi berani bercakap depan orang ramai ek?"
"Saya teringin nak bercakap depan orang ramai, tapi tak yakin la.."
"Adoi, sakit perut la kalau nak bercakap kat depan ni. Macamana nak buat ek?"
"Ada tips tak macamana nak control nervous bila bercakap depan orang ramai?"
"Macamana awak macam relaks je masa buat presentation tadi?"

DAN JUGA SOALAN-SOALAN BERIKUT...

"Saya sakit hati betul, time saya bercakap tadi diorang bising dan ada yang tidur! Kenapa ya? "
"Saya selalu dapat borang maklumbalas peserta mengatakan ceramah saya membosankan, apa yang saya perlu lakukan?"
"Macamana nak elakkan peserta kerap keluar masuk semasa saya sedang berceramah?"
"Saya tengok peserta saya lembik sepanjang latihan, awak ada tak aktiviti yang boleh dijadikan selingan semasa ceramah?"
"Macamana nak jadikan ceramah saya lebih menarik?"

Saya seronok menerima soalan-soalan ini kerana ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sekarang semakin lama semakin berminat untuk memiliki rahsia dan tips kemahiran pengucapan awam @ public speaking yang KREATIF! SYABAS!!
Di sekeliling kita pada hari ini, jurulatih / penceramah adalah antara insan-insan yang memperolehi pendapatan yang tinggi hasil daripada ceramah / latihan yang mereka lakukan, dan tidak tergugat dengan kejatuhan ekonomi yang melanda.
Tak percaya? Boleh risik-risik pada Dato' Dr Fadzillah Kamsah (Pakar Motivasi), Dato' Dr Sheikh Muszaphar (Angkasawan Negara), Dr Irfan Khairi (Jutawan Internet), Aznil Hj Nawawi (Pengacara No. 1 Malaysia), Ustazah Siti Noor Bahyah Mahamood (Penceramah Bebas), Osman Affan (Perunding Motivasi) dan ramai lagi penceramah-penceramah hebat yang rezeki mereka semakin rancak kerana memiliki kemahiran pengucapan awam yang baik, kreatif dan memang menarik!
Kenapa saya katakan jurulatih / penceramah yang hebat mampu buat duit dengan modal air liur?
Kerana untuk menyampaikan ceramah, apa sahajalah modal yang diperlukan? Jika ada pun mungkin kos petrol kenderaan untuk ke destinasi ataupun kos percetakan handouts yang diberikan kepada peserta.
Tapi anda harus tahu yang ada sesetengah penganjur, menampung segala kos penceramah -- daripada pengangkutan, penginapan, makanan, percetakan handouts -- malah diberi lagi cenderahati di samping bayaran yang sudah ditetapkan! Wah, alangkah bahagianya berniaga dengan modal air liur (bercakap) sahaja!
Selain itu, anda harus tahu bahawa semakin ramai pendengar ceramah anda, semakin naik saham anda sebagai jurulatih / penceramah. Apabila saham semakin naik, kadar bayaran anda juga akan turut naik. Silap-silap untung rezeki anda, boleh mencecah ke RM1,500.00 untuk satu jam ceramah!
Mungkin anda juga seorang yang sudah biasa memberikan ceramah ataupun anda seorang jurulatih, tetapi seringkali anda mendapati audien anda tidak memberikan tumpuan kepada apa yang sedang anda ucapkan.. Anda sering lihat mereka menguap, bersandar leweh di kerusi, termenung, sering keluar dari bilik kuliah, menconteng-conteng buku nota, berbual sesama sendiri dan ah! macam-macam lagi lah! Oh, ini petanda tidak baik!
Ceramah haruslah menarik, kreatif dan mampu menangkap perhatian pendengar dari minit pertama sehinggalah tamat. Sehingga audien sanggup menahan rasa terkucil kerana takut kerugian terlepas apa yang anda sampaikan dan di akhir ceramah, audien memberikan maklumbalas bahawa mereka mahukan anda datang sekali lagi sebagai penceramah!!
Ya! Itulah yang akan saya kongsikan dalam Kursus Bicara Bestari ini dan berikut pula adalah modul-modul yang bakal anda pelajari nanti DALAM BAHASA MELAYU:

MODUL 1: TARIK PICU
• Mengenalpasti kelebihan dan kelemahan diri
• Keluar dari Zon Selesa
• Teknik mengurangkan darah 'G' (Gemuruh) ;)
MODUL 2: HIDUPKAN ENJIN
• Mengenalpasti peluang yang ada untuk memperbaiki diri sendiri
MODUL 3: TIPS, TEKNIK & RAHSIA
• Pemilihan perkataan
• Intonasi & nada
• Padding
• Postur dan bahasa tubuh
• Hubungan mata
• Pantang larang
MODUL 4: PERBINCANGAN KUMPULAN & LATIHAN DENGAN FASI-MENTOR
MODUL 5: PERSEMBAHAN UCAPAN
MODUL 6: RESOLUSI
• Penetapan matlamat
• Perkongsian terbuka
• Penilaian diri
X-TRA: ENERGIZERS & BODYSHOTS

Testing mic 1.. 2.. 3.. Sila beri perhatian!!

Adakah Anda Mahu Tampil
Hebat? Yakin? Disegani?
Hey! Sampai Bila Mahu Duduk Di Sudut Yang Terperuk dan Tersorok?
Cabar Diri Anda Sendiri Untuk Berani dan Yakin Berbicara Di Hadapan Khalayak Ramai!!
Ribuan manusia dan tokoh berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka adalah kerana mereka memiliki kemahiran pengucapan awam yang baik. Malah ada di antaranya (termasuk saya) yang memulakan kejayaan dengan hanya bermodalkan air liur sahaja!!

Teknik Bercakap di Khalayak Ramai (1)

Tip#1

Mari kita mulakan dengan pembuka tips ini semua. Saya mahu anda lakukan sesuatu.

Mula-mula, berdiri di depan sebuah cermin yang paling besar di rumah anda. Harapnya, cermin itu anda boleh lihat seluruh tubuh anda, dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kemudian, pejamkan mata anda. Tenangkan fikiran, tarik nafas panjang beberapa kali.


Bayangkan, anda sedang berdiri di dalam sebuah dewan, di depan 1200 orang. Semua orang di dewan itu sedang memerhatikan anda. Suasana agak sunyi kerana semua orang sedang menunggu anda sedang bercakap.

Cuba anda sedari, apakah perasaan anda ketika itu? Cuba sedari, adakah anda rasa lutut anda lemah? Adakah anda rasa perut anda memulas? Adakah anda rasa jari anda mula menggeletar?

Anda perlu bayangkan situasi berada di dalam dewan tadi dengan jelas. Jika anda tidak lakukan dengan serius, anda tidak akan tahu apa yang anda rasa, dan anda tidak akan tahu bagaimana cara untuk memajukan diri anda.

Jadi, latihan pertama hari, lakukan aktiviti tadi. Cari cermin besar tadi. Kalau tak ada cermin di rumah, cari di tempat lain seperti di sekolah anda, rumah sahabat anda atau kalau tak jumpa sangat, gunakan tandas awam pun boleh. (Tapi cari tandas awam yang bersih la ye, nanti konsentrasi terganggu dengan bau busuk pulak….

Selamat mencuba!
________________________________________
~ Barangsiapa mahu akan dunia, maka hendaklah dia berilmu, barangsiapa mahu akhirat maka hendaklah dia berilmu. Dan barangsiapa mahu kedua2nya, maka hendaklah dia berilmu juga [mafhum hadith sahih]~

Tips bercakap dikhalayak ramai

Setelah anda tahu bahawa cara anda bernafas akan mempengaruhi apa yang anda rasa, anda perlu belajar cara bernafas yang boleh membuat anda rasa lebih tenang. Secara mudahnya, anda akan merasa tenang jika anda menarik nafas panjang.
Cuba latihan ini, tarik nafas anda selama 7 saat perlahan-lahan….. kemudian, tahan nafas anda selama 7 saat….dan lepaskan nafas anda perlahan-lahan selama 7 saat juga…… di masa yang sama, kosongkan fikiran anda. Maksudnya, jangan fikir tentang apa-apa….. cuba beberapa kali.
Jika ini kali pertama anda mencuba cara ini, anda mungkin rasa pening sedikit. Tidak mengapa. Setelah anda amalkan, anda akan rasa segar dan bersemangat setiap kali anda lakukan latihan ini.
Jadi, setiap kali anda mahu bercakap dikhalayak ramai, mulakan dengan menarik nafas yang dalam dan panjang. Perhatikan juga cara anda bernafas semasa anda berucap. JIka anda rasa gugup semasa berucap, perbetulkan cara anda bernafas. Anda akan berucap dengan lebih baik. Perhatikan juga kelajuan anda bercakap. Jika anda bercakap terlalu laju, mungkin anda juga sedang bernafas dengan laju. Jadi, perlahankan. Kawal semula pernafasan anda dan tingkatkan rasa keyakinan diri anda semasa berucap.

Tips Berucap Di Khalayak Ramai

Menurut kebanyakan pendapat, penyampaian ucapan atau ceramah yang baik bergantung pada tiga perkara utama:

Siapakah yang menyampaikan?
Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan?
Apakah yang disampaikan?

Jika diteliti, faktor orang yang menyampaikan diletakkan paling atas sekali dalam senarai.

Mengapa? Lazimnya, apabila dimaklumkan bahawa akan ada satu ceramah di tempat anda, apakah perkara pertama yang akan anda tanya? Soalannya pasti "Siapa penceramahnya?" Identiti penceramah sangat penting kerana identiti merupakan daya penarik bagi penganjur untuk menarik lebih banyak penonton.

Walaupun terdapat hanya seorang penceramah yang terkenal dan penceramah lain ialah penceramah biasa yang belum dikenali, daya tarikan dan reputasi penceramah utama tadi mampu untuk menarik kehadiran penonton.

Situasi yang sama juga berlaku dalam penganjuran sesuatu konsert. Apabila tiket konsert mula dijual, penganjur akan meletakkan nama penyanyi yang paling terkenal di atas untuk menarik perhatian peminat. Penganjur juga akan membuat berbagai-bagai helah untuk memastikan penonton tidak meninggalkan konsert lebih awal dengan meletakkan penyanyi pujaan mereka di akhir konsert.

Sebagai bukti penyanyi tersebut hadir, mereka mungkin akan menampilkannya pada permulaan rancangan dengan janji bahawa beliau akan muncul semula. Dengan ini, peminatnya tidak mungkin akan berganjak.

Begitulah pentingnya daya tarikan yang ada pada seseorang penyampai yang baik. Semua ini merupakan reputasi yang dibina sejak awal pembabitan dalam bidang ini dan digilap oleh pengalaman.

Faktor kedua pula ialah cara maklumat disampaikan. Dua orang yang berlainan boleh menyampaikan ceramah dengan menggunakan teks ucapan yang sama tetapi kesannya kepada penonton sudah pasti berbeza.

Bagi topik dan ayat yang sama, sebenarnya boleh disampaikan dengan pelbagai lenggok bahasa, penekanan suara pada perkataan tertentu dan gerak-geri badan yang mengiringi penyampaian tersebut. Situasi ini banyak berlaku kepada pemandu pelancong kerana bagi setiap destinasi, mereka mempunyai skrip untuk bercerita tentang latar belakang tempat yang dilawati kepada pelancong. Bagaimanakah maklumat tersebut disampaikan? Penuh semangat, sambalewa ataupun bersahaja?

Cara penyampaian sangat penting kerana hal ini boleh menimbulkan mood yang berbeza kepada pelancong. Lawatan ke Tugu Negara misalnya boleh menjadi satu pengalaman yang biasa ataupun boleh menjadi sesuatu yang menarik dan menyentuh perasaan.

Pada satu lawatan ke Tugu Negara, terdapat dua kumpulan daripada dua agensi pelancongan yang berbeza. Bagi kumpulan pertama, pemandu pelancong tersebut memberikan penerangan kepada pelancong mengenai Tugu Negara, tahun Tugu Negara dibina, simboliknya dan sejarah yang membawa kepada pembinaannya.

Cara penyampaian adalah sangat bersahaja sehinggakan memberikan impresi bahawa Tugu Negara hanyalah salah satu daripada banyak tugu lain di Malaysia yang tidak ada keistimewaannya. Tidak ada seorang pun pelancong yang berminat untuk mengetahui perihal tugu tersebut dengan lebih lanjut lagi.

Berlainan pula dengan kumpulan yang kedua. Pemandu pelancong memulakan pengenalan kepada Tugu Negara sebagai sebuah tugu peringatan yang banyak memberi erti kepada negara. Cara penyampaian yang agak melankolik sungguh menyentuh hati dan pelancong yang datang turut menghargai pengorbanan askar-askar Melayu yang berjuang habis-habisan pada zaman sebelum kemerdekaan. Mereka turut tersentuh oleh semangat cinta akan negara yang ditunjukkan oleh askar-askar yang terkorban dalam memelihara kedaulatan negara.

Contoh di atas merupakan contoh terbaik untuk membezakan dua penyampaian yang berbeza dengan menggunakan maklumat yang sama. Setiap fakta yang diberikan oleh pemandu pelancong bagi kumpulan kedua telah disebut oleh pemandu pelancong bagi kumpulan pertama.

Yang membezakan hanyalah cara penyampaian, gaya suara dan elemen emosi yang ditunjukkan.

Kebanyakan orang mungkin menyangka kandungan teks ucapan ialah faktor terpenting dalam memastikan sesuatu penyampaian berjaya. Tidak dinafikan kepentingannya tetapi seperti yang telah dijelaskan, dua individu mungkin menyampaikan teks yang sama tetapi cara penyampaian yang berbeza telah meletakkan satu ucapan itu pada tahap yang lebih baik daripada yang satu lagi.

Penyampaian yang baik akan berjaya menarik minat penonton untuk terus mendengar tanpa jemu dan hal ini membantu ke arah memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton.

Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ‘penyampaian’ atau ‘delivery’? Adakah penyampaian satu perpindahan dari satu tangan ke tangan yang lain? Apabila anda membeli sebuah kereta, penjual kereta akan datang kepada anda dan memberikan kunci kereta berserta dokumen penjualan. Anda menerima semua perkara tersebut dan proses jual beli berakhir di situ. Adakah semudah itu dengan penyampaian sesuatu maklumat?

Sarina merupakan seorang novelis yang terkenal dan pada satu majlis, Sarina telah diminta untuk menyampaikan satu ucapan pendek tentang masalah penjualan novel di negara ini. Sebagai seorang novelis yang telah banyak menghasilkan novel yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan yang sangat baik, Sarina tidak pernah merasakan keperitan untuk memastikan semua novelnya terjual. Dia tidak pernah terfikir langsung tentang masalah tersebut yang bagi pendapatnya, langsung tidak wujud.

Oleh sebab tidak terdapat sebarang kaitan antara perkara yang disampaikan dengan elemen emosi semasa Sarina menyampaikan masalah-masalah yang mungkin wujud, Sarina gagal untuk mengaitkan dirinya dengan topik tersebut. Akibatnya, penonton tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Sarina kerana dia tidak mempunyai ‘nyawa’. Ucapannya bukan hasil nukilan dari hatinya. Apa yang disampaikan hanyalah berdasarkan cerita-cerita yang didengarinya daripada media massa dan juga teman-teman seperjuangan yang tidak bernasib baik, tidak seperti dirinya.

Yang dilakukan oleh Sarina bukanlah satu penyampaian. Hal ini kerana penonton tidak merasakan sesuatu mesej telah disampaikan kepada mereka dari hati dan dari minda penceramah ke hati dan ke minda mereka.

Oleh itu, penting bagi setiap penceramah untuk mengetahui cara untuk menarik perhatian penonton, tidak bercakap sambalewa dan lebih sistematik dalam penyampaian.

1. Mulakan dengan sesuatu yang menarik perhatian penonton
Walaupun anda kurang bersedia dari segi penyediaan teks, anda masih boleh menyampaikan sesuatu mesej dengan baik sekiranya berpengetahuan dalam topik tersebut. Namun, pada permulaan ucapan, pengenalan yang diberikan haruslah cukup menarik untuk melakar imej yang positif terhadap diri anda.

Sebagai contoh, walaupun Sarina tidak bersedia kerana dia tidak mempunyai pengalaman seperti yang tertulis dalam topik di atas, dia masih berupaya untuk ‘bercerita’ pengalaman yang pernah dialami oleh kawan-kawannya.

Sarina boleh memulakan ucapannya dengan kenyataan yang menarik perhatian, seperti, "Dua minggu lepas, saya didatangi oleh rakan baik saya, yang juga merupakan novelis. Beliau banyak menulis cerita tentang percintaan kaum remaja. Dia datang dengan muka yang muram…" atau Sarina boleh memulakan dengan satu soalan, "Berapa orang di sini yang membaca surat khabar hari ini?"…atau "Berapa ramaikah di sini yang suka membaca novel?"

Walau apa-apa jua teknik yang digunakan, pastikan teknik tersebut mampu menarik perhatian penonton supaya terus mendengar.

2. Pastikan penyampaian anda penuh bertenaga
Seperti yang telah disarankan sebelum ini, variasi suara amat penting. Pastikan kelajuan suara anda perlahan apabila memperkatakan sesuatu yang agak dramatik dan pastikan anda membayangkan keceriaan apabila menceritakan perkara yang menggembirakan. Jangan lupa untuk berhenti apabila perlu. Bercakap tanpa henti seperti kereta api ekspres tidak akan membantu anda menyampaikan mesej.

Jangan hanya berdiri kaku di belakang rostrum tetapi berjalan ke hadapan apabila anda ingin menarik perhatian penonton dan berikan deskripsi dengan pergerakan tangan dan mimik muka anda. Pastikan setiap pergerakan mempunyai matlamat. Jangan mundar-mandir tanpa hala tuju kerana lambat laun penonton akan bosan. Sarina mungkin telah melakukan kesilapan kerana dia tidak bergerak dan tidak mencuba untuk memenangi hati penonton. Dia tenggelam dalam masalahnya sendiri yang merupakan konflik dalaman dirinya.

Sebelum membuat ucapan, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya beberapa jam sebelum masa yang dijadualkan. Mental dan fizikal yang cukup rehat sangat penting untuk mengelakkan rasa gugup. Anda juga harus memberikan perhatian pada perut anda. Kebanyakan penceramah hanya mengambil makanan yang ringan sahaja sebelum berucap. Jangan sekali-kali makan berlebihan kerana apabila perut terlalu kenyang, anda pula terpaksa berdiri untuk menyampaikan ucapan, peraliran darah akan tertumpu ke bahagian perut. Akibatnya, peraliran darah ke otak akan berkurangan dan hal ini menyebabkan anda lesu dan tidak boleh berfikir dengan baik.

Oleh itu, elakkan makan dengan banyak. Selepas menyampaikan ucapan, anda boleh sambung kembali makan makanan yang dihidangkan.

3. Pastikan ucapan anda sistematik
Anda tidak perlu memerah otak untuk mencari idea yang banyak untuk membuat sesuatu pembentangan. Memadai dengan dua atau tiga idea yang baik. Susun idea berikut mengikut kepentingan dan sediakan fakta sokongan seperti contoh, definasi, testimonial atau statistik.

Alat bantuan visual juga boleh disertakan sebagai daya tarikan yang sesuai. Bagi Sarina, dia hanya perlu menyampaikan tiga perkara iaitu:

1. Status penjualan novel setakat ini – penjelasannya boleh disokong dengan statistik penjualan novel yang boleh didapati daripada penerbit.

2. Masalah yang dihadapi oleh novelis – novel tidak laku disebabkan oleh faktor-faktor tidak ada kualiti, strategi pemasaran yang lemah, kurang promosi dan sebagainya. Untuk tambahan, Sarina boleh berkongsi cara penerbit buku membuat promosi dan pemasaran.

3. Cara untuk mengatasi masalah ini – salah satu cadangan yang boleh Sarina utarakan adalah denganmenyarankan agar pihak kerajaan mengawal lambakan novel yang tidak berkualiti, tingkatkan kreativiti penulis agar mampu mengeluarkan novel mengikut kehendak orang ramai, penyelidikan tentang cita rasa pembeli dan sebagainya.

Walaupun Sarina tidak pernah mengalaminya, dia sepatutnya arif tentang keadaan pasaran semasa yang agak lembap dan mengaitkan pengetahuan dan pengalamannya.

4. Sertakan perkataan yang menunjukkan turutan
Perkataan-perkataan seperti "Pertama," "Kedua," atau "Akhir sekali," boleh menjadi petunjuk yang sistematik kepada penonton mengenai struktur ucapan anda. Hal ini boleh membantu mereka untuk mengikuti perjalanan ucapan anda.
Perkataan-perkataan ini juga boleh membezakan pengenalan, isi dan penutup ucapan anda secara keseluruhannya. Dengan ini, ucapan anda akan lebih sistematik dan penonton dapat memahami objektif ucapan yang disampaikan dengan mudah.

5. Ceritakan pengalaman anda
Teknik ini berkesan apabila anda membuat pembentangan terutama sekali dalam bidang teknikal. Lazimnya, bidang teknikal tidak begitu mudah untuk difahami, kecuali semua hadirin yang ada merupakan orang yang bekerja atau belajar dalam bidang ini. Untuk memudahkan pemahaman, anda boleh menceritakan pengalaman anda sendiri dengan bahasa yang mudah.
Berdasarkan pengalaman yang dilalui, anda mampu mengaitkan pendengar secara emosi dengan fakta yang anda ceritakan. Hanya pengalaman peribadi dapat mencapai impak sedemikian.

Apabila anda bercerita, ikutlah kronologi kejadian dengan memasukkan maklumat seperti orang yang terlibat, perkara yang terjadi, masa, sebab dan tempat. Jika anda menggunakan panduan ini, cerita anda tidak akan kekurangan fakta yang diperlukan untuk pemahaman.

Sebagai menambah keunikan pembentangan anda, anda boleh menggunakan alat bantuan visual seperti tayangan video pendek, carta flip dan sebagainya. Sebelum itu, pastikan anda menonton dahulu visual tersebut dengan duduk di tempat penonton dan di belakang sekali. Pastikan penonton yang duduk di belakang sekali dapat melihat visual tersebut.

Buat pengenalan kepada visual berkenaan dan jelaskan sebab visual itu dipilih. Jangan biarkan visual tersebut menjadi demontrasi bisu. Anda harus memberikan petunjuk pada setiap peringkat. Jangan berhenti bercakap langsung. Anda harus memandang ke arah hadirin, bukan visual tersebut. Apabila visual tersebut sudah tidak digunakan, tutup atau sembunyikan daripada pandangan penonton kerana visual tersebut boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap anda.

Seandainya anda menyampaikan ucapan untuk memujuk penonton supaya membuat sesuatu, sebagai tambahan kepada pengalaman yang anda alami sendiri, masukkan juga testimonial daripada pakar yang dihormati dan dikenali oleh semua hadirin untuk membuktikan yang anda serius.

Anda juga boleh memasukkan data statistik yang sahih. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membuktikan bahawa pendengaran penting untuk meningkat kualiti servis kepada pelanggan, anda boleh membentangkan statistik yang menyatakan kecekapan pendengaran manusia hanyalah sebanyak 25% sahaja walaupun kita menghabiskan lebih dari separuh masa kita berkomunikasi dengan mendengar.


"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama
dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."
(Imam Nawawi)

MEMBENTUNG RASA TAKUT KETIKA BERUCAP

Bagi membendung rasa takut dan gementar semasa berucap, berikut adalah 25 langkah yang boleh dijadikan panduan dalam mengatasi masalah anda:
• Berdoa kepada Tuhan agar anda diberi ketenangan dan kejayaan ketika berucap.
• Tarik nafas dalam-dalam bagi mengurangkan ketegangan pada tubuh. Langkah ini dapat mengurangkan rasa gugup anda ketika berhadapan
dengan orang ramai. www.familiazam.com
• Anggap khalayak sebagai rakan anda dan angan terlalu risau dengan jumlah hadirin yang ramai.
• Elakkan menjalin pertemuan mata dengan setiap orang sebaliknya melihat kearah aras kepala setiap orang seolah-olah anda melihat mereka.
• Datang lebih awal ketempat anda berucap supaya anda dapat mengenali dan menguasai lokasi terbabit. Dekati hadirin anda dan berbual
dengan mereka kerana secara psikologinya ia memberi keyakinan apabila anda mila berucap.
• Jalin hubungan mata dengan khayalak yang mesra dan melemparkan senyuman kepada anda atau mengangguk kerana dengan cara itu anda
tidak merasa tertekan berbanding melihat wajah yang serius.
• Yakinkan diri anda akan berjaya dan bersikap positif. Khayalak sebenarnya tidak ingin melihat anda gementar atau takut kerana mereka mahu
mendengar ucapan umum yang baik dan berinformasi.
• Elakkan daripada memegang kertas kerana jika anda gementar ia akan kelihatan terketar-ketar dan ini akan menambahkan perasaan
gementar serta tertekan. www.familiazam.com
• Cuba hafal kenyataan minit-minit awal supaya anda akan kelihatan yakin berada di hadapan.
• Tanya soalan juga satu cara untuk membunuh rasa takut dan gementar.
• Buat persediaan yang cukup kerana kajian mendapati kurangnya persiapan membuatkan anda lebih gementar. Dapatkan data, statistik,
maklumat dan contoh yang sesuai supaya anda dilihat sepuluh langkah di hadapan berbanding khalayak.
• Belatih dan terus berlatih membuatkan anda lebih bersedia. Jika tidak mahu bercakap di hadapan rakan, gunakan cermin sebagai langkah
berlatih. www.familiazam.com
• Cuba tenangkan diri secara jasmani sebelum berucap. Ambil beberapa langkah untuk bertenang seperti mandi, berenang dan mendengar
muzik.
• Buat permulaan berdiri di belakang podium atau rostrum akan membunuh rasa takut dan gementar tetapi kawal bahasa badan anda dengan
tidak berpegang kepada rostrum berkenaan.
• Berjalan di tengah khalayak ramai apabila sudah mendapat keyakinan. Dengan cara ini anda sebenarnya sudah menjalin hubungan dengan
mereka. www.familiazam.com
• Ketahui khalayak anda sebelum tutun ke gelanggang kerana ia dapat menyesuaikan anda dengan bahan ucapan, contoh humor dan
sebagainya.
• Jangkakan soalan kerana anda akan bersiap sedia dengan jawapannya jika ia ditanya.
• Jangan beritahu khalayak mengenai ketakutan anda kerana mereka tidak akan tahu sekiranya anda tidak menunjukkan dengan perbuatan anda.
• Elakkan daripada menghafal seluruh isi kandungan dan ayat utama dalam teks ucapan anda kerana ia lebih memberi tekanan.
• Lakukan senaman kecil seperti menekan tapak tangan atau kaki kelantai tetapi jangan sampai ia kelihatan ketara di mata hadirin.
• Bunuh fikiran negatif dan jangan biarkan ia menguasai minda dan emosi anda. Fikir positif akan memberi keyakinan berbanding kegagalan.
• Fokus kepada ucapan dan elakkkan daripada melakukan atau memikirkan perkara lain seperti apa khalayak memikirkan mengenai anda.
• Awasi cara anda duduk kerana cara duduk juga membantu anda mengurangkan tekanan.
• Minum air kosong untuk membasahkan tekak.
• Bercakap dengan perlahan kerana jika anda berucap dengan pantas ia seolah-olah memperlihatkan anda ingin segera menghabiskan ucapan
selain memburukkan keadaan.

NOTA DEBAT ALA-PAELIMEN

PANDUAN BERBAHAS
1. Strategi Dan Taktikal Memenangi Perbahasan
PADA 4 Ogos 2007 yang lalu, saya telah membentangkan tajuk “Strategi dan Taktikal Memenangi Perbahasan ala-Parlimen” kepada pembahas dan bakal-bakal pembahas yang dipilih dari semua sekolah menengah dalam daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Saya sebenarnya cuba berkongsi pengalaman real saya dan pasukan saya yang pernah menjadi juara, naib juara, tempat ketiga serta kalah dalam beberapa pertandingan bahas sama ada perbahasan konvensional mahupun ala-Parlimen; sama ada sebagai peserta, hakim dan guru pembimbing; sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang; sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan; sama ada semasa saya bergelar pelajar atau pun guru. Tetapi yang lebih penting lagi, saya ingin memberitahu mereka bahawa tempoh beberapa minit mereka berhujah di gelanggang sebenar itulah yang bakal menentukan kejayaan pasukan mereka. Keadaan ini sama dengan pasukan bola sepak yang menerima latihan beberapa bulan di luar negara dan bermain dengan pasukan terhandal dunia, namun kemenangan mereka banyak ditentukan dalam tempoh 90 minit mereka bermain. Hanya pasukan yang dapat berhujah secara real, tanpa menampakkan dengan ketara elemen lakonan, mengemukankan bukti kes dengan matang dan bercakap dengan nada spontan, bersahaja, dan santai sahaja yang mampu “convince” para hakim dan penonton dan seterusnya memenangi sesuatu pertandingan bahas. Hakim akan melihat dengan jelas siapa yang benar-benar menghayati usul, jelas peranan dan fungsi, menguasai pentas, berhujah dengan matang dan berani berdepan dengan situasi sebenar , dan siapa pula yang terikat dengan skrip, gementar apabila berdepan khalayak, tidak berani memandang tepat ke arah lawan, terkekang dengan stail lama(konvensional), menggagah diri untuk menjadi berani dan gagal mengenal pasti dan memanipulasi kelemahan lawan. Saya melihat dalam banyak perlawanan bahas, pembahas akan melontarkan semula apa-apa yang telah mereka sediakan sebelumnya tanpa ada keberanian untuk melakukan perubahan walaupun perubahan yang kecil. Hal yang demikian menjadikan perbahasan itu kaku dan tidak bersahaja.Para pembahas sepatutnya dilatih untuk berfikir bebas tentang sesuatu tajuk, melihat dunia daripada pelbagai perspektif, meneroka pelbagai bidang ilmu dan dilatih dengan kesepontanan sebelum perbahasan berlangsung. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memahami usul/tajuk. Di peringkat ini jangan sibuk dan disibukkan dengan perkara-perkara lain seperti mencari siapa Perdana Menteri, siapa menteri pertama atau kedua. Itu boleh ditentukan kemudian. Biar semua ahli pasukan termasuk peserta simpanan mempunyai kefahaman yang mendalam dan tanpa sedikit pun keraguan tentang kehendak usul. Mereka mesti diberikan masa yang mencukupi dan dibenarkan berbahas sesama mereka sehinggalah mereka menemukan maksud dan kehendak usul yang sebenar. Selepas itu barulah formasi dibentuk dan strategi diatur. Jangan sama sekali menganggap tugas memahami usul sebagai perkara remeh kerana ketidakjelasan dalam aspek ini akan membawa padah kepada pembahas dan pasukannya apabila darjah penghayatan, keberanian dan keyakinan pembahas tidak mencapai tahap optimum. Apabila aspek yang satu ini dihayati, ditokok dengan persiapan-persiapan lain termasuk dari segi isi, formasi, strategi, taktik dan teknik, ketika ini barulah suasana perbahasan yang sebenar dapat dirasai; hakim terpukau, penonton terhibur dan yang patut menang akan menang dan yang kalah akan menerima dan mengakui akan kelemahannya. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan berkongsi banyak lagi rahsia bagaimana memenangi pertandingan perbahasan.
2. Debat Bukan Segala-Galanya
RAMAI orang percaya bahawa pendebat yang baik ialah pendebat yang mempunyai kepintaran akal, selain kepintaran berhujah. Memang benar, tetapi itu hanya sebelum mereka berdebat. Apa yang berlaku, majoriti daripada mereka membawa akal bersama-sama mereka, tetapi disebabkan kepanasan berdebat sebahagian daripada mereka hampir-hampir terlupa untuk menggunakannya. Kadang-kadang mereka sengaja meninggalkannya di luar dewan bagi memastikan mulut mereka lebih laju daripada biasa. Pendebat selalu merasakan musuh sebenar mereka ialah lawan mereka. Tetapi mereka terlupa musuh terdekat bagi seseorang pendebat ialah akal mereka sendiri kerana akal akan membataskan lidah mereka. Sebab itu mereka lebih suka bersahabat dengan lisan mereka ketimbang akal mereka kerana lidah tidak pernah menyekat atau menghalang kemahuan mereka. Lidah mereka akan sentiasa membenarkan. Dan inilah yang mereka mahu. Jika orang kebanyakan melihat dunia melalui mata kasar dan orang alim melihat dunia melalui mata hati, para pendebat pula melihat dunia melalui mulut-mulut mereka yang sentiasa ternganga. Perdebatan yang asalnya digunakan oleh ahli-ahli falsafah untuk mempertahankan pemikiran mereka, yang kemudiannya dimurnikan oleh para ulamak untuk membahaskan sesuatu masalah agama dan perbandingan mazhab, kini bertukar menjadi suatu pembohongan yang dipelihara oleh orang yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bertindak untuk menutup kelemahan sedia ada.
3. Pembahas Simpanan
SAYA ingin beritahu anda bahawa pembahas simpanan adalah orang yang paling penting. Panggilannya sebagai pembahas simpanan, bukanlah alasan untuk seseorang pembahas simpanan lari daripada tugas, atau berbuat sesuka hati mereka. Pembahas simpanan hendaklah dipastikan hadir dalam semua acara latihan dan pertandingan. Pembahas simpanan perlu berlatih dalam semua peranan sama ada sebagai Perdana Menteri, menteri pertama, menteri kedua, ketua pembangkang, pembangkang 1 atau 2 dan sebagai penggulung. Mereka mesti mempunyai kecekapan yang pelbagai dan bersedia pada bila-bila masa untuk menggantikan sesiapa sahaja. Sebab itu pembahas simpanan saya anggap adalah manusia paling genius,bertenaga dan berkebolehan serta bersikap lebih terbuka dalam semua keadaan. Justeru pembahas simpanan mestilah pembahas yang hebat, bukan dipilih sekadar tangkap muat. Pembahas simpanan merupakan ayam tambatan pasukan, dan dikeluarkan pada masa yang tepat. Pembahas simpanan bukan sekadar menggantikan pembahas yang sakit atau yang ada masalah kesihatan, tetapi beliau boleh menggantikan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja jika difikirkan kemasukan beliau membantu kemenangan kepada pasukan. Pembahas simpanan turut berupaya mengatur strategi bagi memenangi sesuatu perlawanan. Dia patut mencatat, merakam dan melihat setiap detik perbahasan itu. Semasa perbahasan berlangsung pembahas simpanan merupakan orang yang paling aktif. Dia patut menyenaraikan semua kelemahan lawan dan semua kekuatan mereka. Sebab itu jangan pandang enteng kepada pembahas simpanan ini.

Jumaat, 19 Mac 2010

DEKLARASI KOTA KINABALU

KAWASAN pergunungan dan gunung mempunyai sejarah dan pertalian rapat
dengan manusia. Sebagai contoh, fahaman tradisi masyarakat Kadazandusun di
Sabah menganggap tuhan mereka yang dikenali sebagai Kinoringan berada di
Gunung Kinabalu dan roh mereka yang mati akan disemadikan di puncak gunung
itu.
Sehingga kini, kepercayaan itu masih dianuti sebahagian masyarakat itu
terutama mereka yang tinggal di persekitaran Taman Negara Kinabalu.
Bagaimanapun, menurut fakta sains, banjaran gunung dan gunung terbentuk
daripada pergerakan kerak bumi yang bertembung.
Sekiranya kedua-kedua kerak bumi menjulang naik, maka banjaran gunung
akan terhasil tetapi jika salah satu kerak bumi terlipat di bawah kerak
bumi yang lain, ia akan menghasilkan gunung berapi.
Antara kepentingan kawasan pergunungan terhadap bumi dan kehidupan
manusia ialah pemberi kesan terhadap perubahan cuaca kerana menjadi
halangan kepada pergerakan awan; sebagai kawasan utama tadahan air dan
menjadi sumber penting bekalan air asli dan bersih; sumber galian, produk
hutan dan pertanian; sumber tenaga, kesejagatan biologi, flora dan fauna;
penempatan penduduk; serta menjadi kawasan tarikan pelancongan dan sumber
ilham untuk golongan penggiat seni.
Kepentingan kawasan pergunungan itu sudah dijelaskan dalam al-Quran
dalam 36 ayat iaitu lima dalam bentuknya yang tunggal iaitu `Jabal'
manakala 31 ayat dalam bentuk plural iaitu `Jibal'.
Selain itu, ada perkataan `tur' dan `tawd' yang memberi maksud mengenai
gunung, dengan `tur' disebut 10 kali dan `tawd' disebut sekali.
Ketua Jabatan Komunikasi Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Mohd Yusof Husain, berkata
ayat-ayat dalam al-Quran merujuk pergunungan dan tanah tinggi dalam
pelbagai bentuk karakter, fungsi dan gambarannya sebagai hasil ciptaan
Allah.
Beliau berkata, antaranya ialah merujuk kawasan pergunungan sebagai
sumber bekalan dan agihan air kepada seluruh kehidupan makhluk bumi
sebagaimana disebut dalam ayat 13:3 surah Al-Ra'd serta fungsinya sebagai
sanktuari haiwan dan lebah sebagaimana disebut dalam ayat 16:68 surah Al-
Nahl.
Katanya, al-Quran turut menyebut sesuatu gunung secara khusus iaitu
Gunung Sinai ketika Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah dalam ayat 143
hingga 145 surah Al-A'raf serta Bukit Safa dan Marwah sebagai simbol
kebesaran Allah dalam ayat 2:158 surah Al-Baqarah.
"Al-Quran menyatakan secara terperinci mengenai kepentingan kawasan
pergunungan dalam kehidupan manusia.
"Dalam Islam, gunung-ganang bukan saja dicipta sebagai pasak bumi,
tetapi juga pedoman kepada manusia mengagungkan kebesaran Allah, justeru
ia mesti dipulihara sehingga kiamat," katanya ketika membentangkan kertas
kerja bertajuk `Pertalian antara Pergunungan dengan Islam' pada
Persidangan Antarabangsa Mengenai Budaya dan Sains di Pergunungan yang
diadakan pada 9 dan 10 Julai lalu di Taman Negara Kinabalu di Kundasang,
Sabah.
Persidangan itu diadakan sempena pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) menjadikan tahun ini, 2002, sebagai Tahun Antarabangsa
Pergunungan, sejajar dengan inisiatif Sidang Puncak Bumi di Rio de
Janeiro, Brazil, pada 1992 berhubung pembangunan mapan pergunungan.
Selain persidangan itu, dua lagi acara diadakan sebagai sambutan Tahun
Pergunungan Antarabangsa di Malaysia, iaitu Dialog Antarabangsa
Pemuliharaan Warisan Bumi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan
pada 8 Julai lalu dan dan Kem Seni Inspirasi Sains (10-13 Julai) di Taman
Negara Kinabalu.
Acara itu anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti
Kebangsaan Malaysia (Lestari UKM) dan Taman-taman Sabah dengan kerjasama
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar persekutuan; Kementerian
Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Sabah; Balai Seni Lukis
Negara; Muzium Sabah; UMS serta Bahagian Sains Bumi, Pertubuhan
Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Pada persidangan itu, satu deklarasi iaitu Deklarasi Kinabalu mengenai
pembangunan mapan pergunungan telah dibuat dengan tiga strategi utama bagi
membolehkan negara ini menghadapi cabaran masa depan.
Tiga strategi itu meliputi langkah pemuliharaan ekosistem di kawasan
pergunungan, memastikan kesejahteraan masyarakat yang tinggal di
pergunungan serta menggalakkan usaha terbaik pengurusan gunung.
Menerusi pemuliharaan ekosistem di kawasan pergunungan, tindakan yang
disarankan ialah:
* memulihara warisan geologi gunung, landskap serta diversiti biologi
gunung menerusi tindakan sistematik untuk mewujudkan keadaan persefahaman,
pengenalan dan perlindungan.
* memastikan eksploitasi mapan sumber semula jadi gunung seperti bekalan
air segar, bahan galian dan perhutanan.
* memulihara habitat gunung yang `rapuh' dan mudah terganggu menerusi
langkah sistematik bertujuan pengekalan, perlindungan dan penyelenggaraan.
* memastikan masyarakat yang tinggal di pergunungan bertindak sebagai
penjaga kepada sumber di gunung.
Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat yang tinggal di pergunungan
pula, beberapa tindakan disarankan ialah:
* memberi peluang masyarakat memulihara warisan budaya dan mempertingkat
pengetahuan sedia ada masyarakat pribumi.
* memastikan kedudukan ekonomi masyarakat pergunungan menerusi tindakan
melindungi cara hidup mereka.
* memastikan aktiviti pertanian secara mapan dilaksanakan mereka.
* menggalakkan aktiviti rekreasi dan eko pelancongan mapan,
* memastikan perlindungan mencukupi daripada sebarang gangguan bencana
seperti ledakan gunung berapi, tanah runtuh dan banjir.
* memastikan perlindungan mencukupi untuk masyarakat pergunungan dengan
menggalakkan suasana aman daripada konflik bersenjata dan keganasan.
* memperluas tindakan pembangunan mapan pergunungan dengan memasukkan
sekali masyarakat yang tinggal di kaki gunung dalam program berkenaan.
Bagi menggalakkan praktis terbaik pengurusan gunung pula, saranan dibuat
agar:
* mempertingkat kapasiti bangunan menerusi pembangunan manusia dan
sumber penjimatan selain pembangunan infrastruktur dan menguatkuasakan
dasar.
* meningkatkan kesedaran di kalangan pembuat dasar dan orang ramai
mengenai keunikan dan kepentingan ekosistem gunung dan masyarakat
pergunungan.
* mempertingkat perkongsian maklumat antara pihak berkaitan sama ada di
peringkat tempatan atau luar negara.
* memastikan pengurusan cekap terhadap wilayah pergunungan tanpa mengira
sempadan dengan tindakan bersepadu di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.
* menggalakkan penggunaan kos etika terhadap eksploitasi di pergunungan.
* mewujudkan praktis pentadbiran kerajaan yang baik untuk melindungi
gunung dan masyarakat di pergunungan menerusi perancangan bersepadu
ekosistem gunung dan skim pengurusan.
* menggalakkan penyelidikan pemuliharaan ekosistem gunung, warisan
budaya masyarakat pergunungan dan praktis pengurusan baik untuk kawasan
pergunungan.
Pengarah Taman-taman Sabah, Datuk Lamri Ali, berkata deklarasi itu yang
dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wences Angang, pada hari terakhir
persidangan berkenaan, akan dihantar ke Unesco untuk tindakan susulan.
Katanya, deklarasi itu dibuat bagi mengiktiraf kawasan pergunungan
sebagai memiliki nilai unik dan peranan istimewa termasuk kerap berfungsi
membantu perubahan dinamik bumi, cuaca dan habitat yang terdapat di situ,
mempunyai kaitan dengan sejarah bumi, sebagai kawasan tadahan air yang
diperlukan oleh wilayah di hilirannya, memiliki sumber flora dan fauna
yang tinggi, pertanian di tanah tinggi, landskap yang dramatik dan
kewujudan masyarakat pergunungan yang terpencil.
Sehubungan itu, katanya, deklarasi itu memberi penekanan terhadap
objektif bersama, iaitu pembangunan mapan ekosistem di pergunungan serta
memastikan kesejahteraan masyarakat di pergunungan, boleh dilakukan
menerusi tindakan berkongsi sumber dan pengetahuan, menyepadukan projek
dan matlamat di kalangan pihak berkaitan serta mempererat kerjasama
antarabangsa.
Apa yang pasti, deklarasi itu memberi tumpuan menyeluruh dalam usaha
memulihara kawasan pergunungan terutama dalam usaha mempertingkat lagi
kesejahteraan masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan.
Langkah itu sejajar saranan Pembantu Menteri Pelancongan, Alam Sekitar,
Sains dan Teknologi Sabah, Datuk Karim Bujang, yang meminta agar tindakan
untuk memulihara ekosistem kawasan pergunungan di negara ini, khususnya di
Sabah harus mengambil kira usaha bagi membantu masyarakat yang tinggal di
persekitarannya.
Berucap merasmikan persidangan antarabangsa itu, beliau berkata
pendekatan terbaik perlu dilaksana bagi memastikan usaha pemeliharaan dan
pengekalan alam sekitar kawasan pergunungan turut mengambil kira kebajikan
penduduk tempatan.
Katanya, ekosistem kawasan pergunungan mudah terjejas jika dilakukan
sedikit tindakan pencemaran sedangkan usaha memuliharanya mengambil masa
yang lama.
"Pada masa sama, di sebalik kekayaan alam semula jadi pergunungan,
penduduk yang tinggal di persekitaran kebiasaannya memiliki kedudukan
ekonomi dan sosial yang mudah terjejas oleh pelbagai faktor dan ada antara
mereka berada dalam kategori rakyat termiskin.
"Saya akan menjadi lebih berminat untuk mengetahui bagaimana kedudukan
sosial dan ekonomi mereka dapat dipertingkatkan," katanya.
Apapun, deklarasi Kinabalu itu tidak menunggu masa terlalu lama untuk
mempengaruhi keputusan dan tindakan pembuat dasar apabila selepas dua hari
ia diisytiharkan, kerajaan Sabah telah mengambil beberapa langkah untuk
memastikan pemuliharaan dan perlindungan masyarakat yang tinggal di
sekitar Kundasang.
Ia berpunca daripada kertas kerja Ahli Geologi, Prof Dr Ibrahim Komoo,
yang menyatakan kira-kira 70 peratus kawasan di Kundasang dikenali sebagai
kawasan tanah runtuh kerana struktur batuannya yang longgar dan terhasil
daripada pergerakan tanah Trus Madi.
Ketua Menteri, Datuk Chong Kah Kiat, kemudian menubuhkan jawatankuasa
khas bagi mengkaji dan meneliti keadaan di Kundasang terutama kedudukan
resort dan chalet yang didirikan di kawasan cerun yang boleh membahayakan
nyawa penghuninya jika berlaku tanah runtuh.
Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya tegas terhadap
bangunan yang didirikan dalam kawasan berisiko tinggi dan dipercayai
berbahaya kepada penghuninya

Membina Masyarakat Mesra Alam Sekitar

ALAM sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah s.w.t kepada manusia dan seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang.

Demikian indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa.

Namun, arus pemodenan dan pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya.

Contohnya sungai, jika dulu ia menjadi sumber kehidupan, malah faktor sungai mewujudkan tamadun awal dunia.

Tamadun Mesir terbina lantaran adanya sungai Nil yang menjadi pembekal sumber air dan sumber protin kepada penduduknya.

Begitulah juga sungai Nil menjadi penghubung penting sama ada menghubungkan kawasan pedalaman atau luar.

Di negara kita pun apa kurangnya dengan tamadun di Lembah Bujang, Kedah, yang wujud kerana faktor sungai.

Itu semua tinggalan sejarah. Sungai sekarang menjadi ‘lokasi utama’ untuk membuang sampah dan sisa pepejal yang mengundang pencemaran yang mengancam ekologi kehidupan air.

Air sungai menjadi tidak selamat lagi untuk diminum, malah kadar toksiknya menyebabkan pelbagai penyakit.

Lantaran kroniknya keadaan sungai di negara kita, pada 1993 kerajaan melancarkan Kempen Cintai Sungai Kita untuk menyedarkan masyarakat agar sentiasa peka dan menjaga kebersihan sungai demi kesihatan dan generasi akan datang.

Bagaimana kesannya kempen berkenaan? Adakah ia banyak menginsafkan rakyat Malaysia mengenai kesan buruk jika sungai kotor dan penuh bahan toksik?

Jika kita perhatikan secara teliti, kempen itu seakan-akan bergerak di sebelah pihak saja, maksudnya kerajaan dan beberapa syarikat swasta atau badan bukan kerajaan yang bersungguh-sungguh menjayakannya, sedangkan masyarakat memandang ringan sahaja.

Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membaik pulih dan memelihara sungai supaya bersih dan selamat digunakan sedangkan masyarakat dan sesetengah kilang memusnahkan kembali sungai.

Sisa toksik dan pepejal kilang dengan mudah disalurkan ke dalam sungai tanpa rasa bersalah.

Pelbagai akta digubal dan dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan alam sekitar, termasuk sungai, namun apa yang ketara berita pencemaran sungai masih berlaku.

Inilah akibatnya jika manusia hanya nampak aspek keuntungan yang bersifat sementara, tetapi kesan jangka panjang tidak diambil kira.

Di sini jelas menampakkan kurangnya kerjasama dan keprihatinan rakyat dalam menjaga kebersihan sungai.

Langkah pembetulan sikap dan anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat.

Malah, sungai bersih dan indah akan menjadi tarikan pelancong, tetapi jika kotor dan penuh sampah-sarap ia menggambarkan sikap buruk masyarakat kita di mata pelancong luar.

Justeru, sikap tidak cakna menjaga kebersihan sungai mesti dipulihkan segera.

Khazanah hutan turut mengalami nasib sama. Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan.

Penebangan balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai.

Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi ekologi hutan.

Hutan rimbun menghijau menjadi lokasi pelancongan sangat digemari pelancong, sekali gus menjadi sumber ekonomi kepada Malaysia.

Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini.

Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang.

Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan habitat hidupan liar di kawasan itu.

Banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan.

Lantas, kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain.

Walaupun negara kita sudah ada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kesedaran rakyat mengenai kepentingan hutan dan hidupan liar harus digembleng secara proaktif untuk mewujudkan rakyat yang mencintai khazanah alam sekitar.

Satu lagi tabiat buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat.

Menurut kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1 kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun.

Dalam hal ini, senario sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim.

Sikap begini seharusnya sudah lama pupus dalam diri setiap rakyat Malaysia kerana negara sudah membangun.

Usaha memupuk kesedaran wajar dimulakan sejak usia muda, jadi ibu bapa mesti menjadi penggerak utama.

Begitu juga di sekolah, satu kurikulum perlu digubal sebagai mata pelajaran supaya generasi pelapis negara dapat menanam sikap mencintai alam sekitar di jiwa masing-masing.

Kegiatan kokurikulum juga boleh dijadikan wadah berkesan dengan menubuhkan kelab alam sekitar atau kelab pencinta alam.


Ingatlah amaran Allah dalam Surah An-Naziaat ayat 30-33 yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pasak yang menetapnya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu.’

Nabi s.a.w pula berpesan yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim).

Sumber Maklumat : Harian Metro, 4 Februari 2009

PERINGATAN

Kepada semua ahli Kelab Debat MRSM Kuantan, anda diharap sudah membuat persiapan rapi bagi perlawanan debat yang akan dilangsungkan selepas cuti sekolah.

USUL : MASYARAKAT IALAH FAKTOR UTAMA MENJAGA ALAM SEKITAR

TARIKH : 23 MAC 2010

TEMPAT : DEAN DATO' ZAHUDI

MASA : 9.00 MLM

KEHADIRAN : WAJIB

Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar 2010

Pertandingan Debat Ala Parlimen Antara Sekolah-Sekolah diadakan untuk mencungkil bakat pengucapan awam yang terbaik dalam kalangan pelajar. Gelanggang perdebatan ini juga melatih pelajar-pelajar untuk mempertahankan hujah yang dibangkitkan dan disokong dengan bukti. Selain itu kepetahan dan kefasihan serta teknik pemikiran yang kritis digabungkan secara bersama dalam menyampaikan dan menyempurnakan perdebatan dengan sempurna.

Butir-butir kejohanan debat adalah seperti berikut;

TARIKH
- 1hb-4hb Julai 2010

TEMPAT
- Dewan Negara Kuala Lumpur

KATEGORI DAN FORMAT
- Pertandingan ini dibuka kepada tiga kategori iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Setiap pasukan diwakili oleh 4 peserta (3 peserta utama dan 1 peserta simpanan). Pertandingan ini berdasarkan format Debat Ala-Parlimen Malaysia yang mengaplikasikan system “power match” berkumpulan yang lazimnya digunakan dalam pertandingan – pertandingan antara universiti di peringkat antarabangsa. Melalui sistem ini, pertandingan akan diadakan secara kalah mati.

PENYERTAAN
- Borang jawapan penyertaan hendaklah diisi lengkap dan dihantar 2 bulan sebelum pertandingan debat diadakan.

HAKIM
- Hakim pertandingan Debat Ala-arlimen akan dilantik dalam kalangan pendebat berpengalaman peringkat universiti. Langkah ini perlu bagi memenuhi kualiti penghakiman yang telus dan berkualiti tinggi. Jika terdapat penyertaan 10 buah pasukan, setiap bahasa memerlukan 5 orang hakim tetap maka jumlah hakim yang diperlukan seramai 15 orang hakim

Ahad, 7 Mac 2010

PENDAFTARAN AHLI BAHARU

SELAMAT DATANG KEPADA SEMUA AHLI BAHARU KELAB DEBAT MRSM KUANTAN. SEMOGA KEHADIRAN ANDA AKAN MEMERIAHKAN LAGI SENI BERDEBATAN ALA PARLIMEN. PERJUMPAAN AKAN DIADAKAN DARI MASA KE MASA DAN WAJIB. ANDA AKAN DIMAKLUMKAN DARI SEMASA KE SEMASA MENEGANI AKTIVITI SELANJUTNYA.

PERJUMPAAN MALAN INI DIADAKAN BAGI MEMPERKENALKAN SENI BERDEBAT ALA PARLIMEN DAN PENDAHFATARAN AHLI BAHARU.

9.00 MALAM

DEWAN DATO ZAHUDI

7 MAC 2010

Rabu, 3 Februari 2010

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MASIH RELEVAN DALAM MEMELIHARA KEAMANAN DAN KEADILAN DUNIA

[Artikel ini telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Menulis Makalah Undang-Undang, anjuran Jawatankuasa Bahasa Melayu, Majlis Peguam Malaysia]

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MASIH RELEVAN DALAM MEMELIHARA KEAMANAN DAN KEADILAN DUNIA

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud

27/7/2006: Keamanan merupakan perkara pokok bagi sesebuah negara bangsa. Ini kerana keamanan merupakan asas kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Dalam konteks antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merupakan badan tunggal yang berperanan dalam memastikan keamanan dan keselamatan di kalangan negara anggota dapat dikekalkan, dan lebih penting mempunyai keupayaan untuk mencorakkan iklim politik dunia supaya kekal aman dan harmonis.

Idea mengenai perlunya sebuah pertubuhan antarabangsa bebas untuk memastikan kelangsungan keamanan dan keselamatan antarabangsa bermula seawal 1941 apabila Presiden Franklin D. Roosevelt dan Perdanan Menteri Winston Churchill menandatagani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 di atas kapal HMS Prince of Wales. Piagam tersebut mengandungi prinsip-prinsip asas mengenai kerjasama antarabangsa dalam mengekalkan simbiosis keamanan antarabangsa.

Piagam ini telah mendapat sokongan daripada negara-negara Bersekutu pada masa itu apabila sebanyak 26 wakil negara-negara Bersekutu telah bersetuju untuk menandatangani suatu perisytiharan yang menyatakan sokongan terhadap Piagam Atlantik dalam usaha mereka untuk menentang Kuasa-kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Itali,dan Jepun. Perisytiharan ini telah memperkenalkan buat pertama kalinya istilah “United Nations” yang dicadangkan oleh Presiden Roosevelt.

Empat kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan United Kingdom juga menyatakan persetujuan mengenai keperluan mewujudkan badan tersebut. Lantaran itu, bertempat di Moscow pada 30 Oktober 1943, negara-negara ini telah bersama-sama bersetuju untuk menandatangani satu deklarasi yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil inisiatif awal bagi menubuhkan badan tersebut. Matlamat ini juga telah disuarakan semasa mesyuarat pemimpin negara-negara tersebut di Tehran, pada 1 Disember 1943.

Impian mengenai kewujudan PBB semakin jelas apabila rangka kerja mengenainya telah disiapkan pada Persidangan Dumbarton Oaks di Washington D.C. bermula 21 September sehingga 7 Oktober 1944. Negara-negara yang terlibat dalam proses persiapan rangka kerja PBB terdiri daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan United Kingdom. Malah, tiga ikon politik dunia pada ketika itu iaitu Roosevelt, Winston Churchill, dan Stalin telah pun menyuarakan keprihatinan mereka mengenai pembentukan badan antarabangsa yang mampu mengawal selia keamanan dunia semasa Persidangan Yalta yang diadakan pada 11 Februari 1945 di Yalta, USSR.

Penubuhan PBB akhirnya menjadi kenyataan apabila 50 delegasi negara-negara dunia telah menghadiri Persidangan San Francisco pada 25 April 1945 dan menyiapkan Piagam PBB dengan 111 artikel. PBB diiktiraf sebagai badan dunia rasmi pada 24 Oktober 1945 apabila kesemua lima anggota Majlis Keselamatan PBB dan majoriti daripada negara-negara anggota telah bersetuju untuk meratifikasi Piagam PBB. Akhirnya, terlakar dalam kanvas sejarah dunia pada 10 Januari 1946, PBB mengadakan Perhimpunan Agung pertama yang diadakan di Central Hall, Westminster dengan kehadiran sejumlah 51 negara sebagai ahli terawal PBB.

Selaku badan dunia tunggal dan terbesar, PBB ditubuhkan dengan beberapa matlamat utama sebagaimana yang telah digariskan dalam Artikel 1 Piagam PBB, antara lain menyenaraikan: (1) Mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, (2) Mewujudkan hubungan baik antara negara-negara bangsa, (3) Mencapai kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa mengenai ekonomi, sosial, budaya, dan lain-lain, (4) Menjadi pusat negara-negara bangsa merangka dan mengambil tindakan berhubung isu-isu (1) hingga (3). Matlamat-matlamat tersebut tertakluk kepada Artikel 2 yang menerangkan tujuh prinsip asas tindakan PBB antaranya mengambil tindakan dengan menghormati sensitiviti dan kepentingan negara anggota.

Secara asasnya, Artikel 7 menggariskan komponen-komponen utama PBB yang terdiri daripada Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung, Majlis Ekonomi dan Sosial, Setiausaha Agung, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, serta Majlis Pemegang Amanah.

Komposisi Majlis Keselamatan, seperti yang diterangkan dalam Artikel 23, terdiri daripada 15 anggota: 5 ahli tetap iaitu Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia serta 10 ahli tidak tetap yang dipilih dua tahun sekali berdasarkan Artikel 23(2). Tanggungjawab Majlis Keselamatan tersenarai dalam Bahagian VI, VII, VIII, dan XII Piagam PBB. Setiap keputusan yang dicapai oleh Majlis Keselamatan akan dipatuhi oleh PBB dan mana-mana badan boleh dilantik oleh Majlis Keselamatan sekiranya dirasakan perlu dalam membantu pelaksanaan tugas khususnya dalam mencapai suatu resolusi. Anggota tetap Majlis Keselamatan juga mempunyai kuasa pembatal atau veto yang boleh membatalkan sebarang resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan.

Majlis Ekonomi dan Sosial pula berperanan melakukan kajian dan laporan kepada PBB mengenai isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial antarabangsa. Majlis ini juga, seperti yang termaktub dalam Artikel 62(2) dan (3), mempunyai kuasa untuk memberi cadangan dan membuat draf konvensyen mengenai ekonomi dan sosial di peringkat antarabangsa. Majlis Ekonomi dan Sosial, dalam Artikel 61, terdiri daripada 54 ahli yang dilantik oleh Perhimpunan Agung (UNGA)

Berdasarkan Artikel 93(1), kesemua negara anggota PBB adalah ahli ipso facto kepada Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Walau bagaimanapun, badan yang mempunyai kuasa untuk memberi pendapat dan pandangan terhadap isu berkaitan perundangan, juga boleh disertai oleh negara bukan ahli tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.

Setelah meneliti idea, konsep, matlamat, hierarki, dan modus operandi PBB, kita sewajarnya, dalam menentukan relevansi PBB dalam memelihara keamanan dan keadilan antarabangsa, menganalisa pola perubahan politik dunia . Politik dunia yang pada awalnya adalah merupakan paksi multipolar sewaktu gawatnya kancah perang dunia kedua, telah bertukar kepada dunia dwipolar dengan kecundangnya gagasan Nazi, Jepun dan China. Kuasa dwipolar pula menyaksikan persaingan pembentukan iklim politik oleh Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Selepas kejatuhan empayar Soviet pada 1989, Amerika Syarikat telah muncul sebagai kuasa unipolar dunia tanpa kehadiran mana-mana kuasa pengimbang sehinggalah ke hari ini. Fenomena ini seolah-olah “menghalalkan” Amerika Syarikat untuk terus melanggar dan tidak mengendahkan apa-apa resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan. Contohnya, Resolusi 1441 yang menghalang serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq hanya dipandang sepi oleh Amerika Syarikat sambil Amerika Syarikat sebenarnya mempersiap bala tentera menuju ke Iraq.

Situasi sebegini sedikit sebanyak telah mencipta prejudis dan stigma masyarakat antarabangsa terhadap PBB. Masih wajarkah PBB dilabelkan sebagai badan pengaman dunia di sebalik kerakusan Amerika Syarikat? Masih adakah keupayaan dan ruang untuk PBB bertindak menghalang atau sekurang-kurangnya mengurangkan kegilaan Amerika Syarikat? Siapakah “tangan” yang menggerakkan catur politik dunia? Adakah PBB dalang atau sekadar membiarkan petualang?

Sebagai masyarakat antarabangsa yang rasional dan adil, kita tidak sewajarnya menjadikan pola perubahan politik dunia ini sebagai satu-satunya asas yang menjustifikasikan kewajaran kita dalam membuat penilaian sama ada PBB relevan ataupun tidak. Maka dalam analisa seterusnya, kita perlu sedar bahawa prejudis yang dilontarkan terhadap PBB sebenarnya tidak lebih daripada suatu hukuman yang bersifat melulu tanpa meneliti apakah sebenarnya yang mendasari konflik antarabangsa.

Dalam kebuntuan mencari penyelesaian terhadap sesuatu konflik antarabangsa, kita mengharapkan masyarakat dunia berupaya memahami apakah sebenarnya yang mendasari kegagalan tersebut sama ada berpunca sepenuhnya daripada ketidakupayaan PBB ataupun lebih disebabkan oleh kedegilan dan kejahilan sebahagian kecil negara-negara parti. Ini adalah penting agar kita, pada analisa terakhir, tidak serkap jarang atau hentam keromo dalam menilai relevansi PBB sebagai badan pengaman dunia.

Konflik Timur Tengah misalnya, telah menonjolkan sikap negara yang tidak komited ke arah penyelesaian masalah apatah lagi untuk mewujudkan sebuah dunia yang aman. Perbalahan Israel-Palestin yang berlanjutan selama empat dekad tidak wajar dijadikan alasan kukuh untuk kita menuding jari ke arah PBB yang sebenarnya telah menjadi penggerak proses damai misalnya melalui perisytiharan yang dilakukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai pembinaan tembok pemisahan wilayah Israel-Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang dan etika persempadanan antarabangsa. Malah PBB melalui UNRWA (United Nations Relief and Works Agency) telah melindungi kebajikan rakyat Palestin selama empat generasi dengan menyediakan pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan, dan khidmat sosial dan sehingga kini, seramai 2.9 juta pelarian Timur Tengah berada di bawah seliaan UNRWA. Sikap keras kepala Israel yang tidak pernah memberikan kerjasama dalam mana-mana proses damai tidak sewajarnya diterjemahkan sebagai kegagalan PBB dalam menjalankan fungsinya.

Dalam kes Iraq, PBB sekali lagi menjadi mangsa ketidakadilan masyarakat dunia apabila PBB dipersalahkan kerana kononnya gagal menghalang serakah Presiden Bush dan Tony Blair untuk menundukkan Saddam dan menakluk bumi Iraq. PBB sebenarnya telah pun menjalankan tugas yang terbaik dengan kapasiti yang ada selaku badan pengaman dunia dengan mengeluarkan resolusi menghalang dan mengecam tindakan Amerika Syarikat tetapi dominasi dan hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa unipolar sebenarnya mencadangkan bahawa kita sebenarnya memerlukan kuasa pengimbang dan bukannya untuk mempertikaikan relevansi PBB sebagai badan dunia dalam memelihara keamanan dan keadilan dunia yang menjadi platform kepada negara-negara dunia.

Isu-isu semerta di peringkat antarabangsa bukanlah kayu ukur yang terbaik untuk menilai sama ada PBB masih relevan ataupun tidak dalam memelihara keamanan dan keadilan dunia. Siri kejayaan PBB bermula seawal penubuhannya perlu diimbau dan diambil kira dalam menilai keberkesanan PBB dalam mencapai matlamatnya.

Dalam mengekalkan keamanan dunia, PBB telah mewujudkan 54 pasukan pengaman di seluruh dunia sehingga September 2001 dengan 15 daripadanya adalah sangat aktif seperti di Congo dan Rwanda. PBB juga telah berjaya mengakhiri beberapa konflik antarabangsa berskala besar contohnya perang Iran-Iraq 1980 - 1988, kemasukan tentera Kesatuan Soviet ke Afghanistan, dan perang saudara di El Salvador. 12 konvensyen telah berjaya dimeterai bagi mengatasi masalah kepengganasan antaranya seperti Konvensyen Tokyo 1963 yang berkisar mengenai kesalahan dan tindakan yang dilakukan di dalam pesawat, Konvensyen Hague 1970 mengenai rampasan pesawat, Konvensyen Montreal 1971 mengenai tindakan salah terhadap penerbangan awam, Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Terhadap Orang Yang Diberi Perlindungan Antarabangsa Termasuk Perisik Diplomatik 1973 yang membincangkan perlindungan terhadap ketua-ketua negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta menteri-menteri luar dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Sekatan Pengeboman oleh Pengganas 1997 yang menyentuh isu pengebom berani mati.

Menyentuh skop keadilan dunia, sumbangan PBB juga bukan sedikit. PBB telah berjaya menghidupkan demokrasi di beberapa buah negara dengan memberikan nasihat pilihanraya dan khidmat pemantauan keputusan pilihanraya. Antara negara yang terlibat ialah Kemboja, Namibia, El Salvador, Eritrea, Mozambique, Nicaragua, Afrika Selatan, Kosovo, dan terbaru, Timor Leste. Lebih 300 perjanjian di peringkat antarabangsa telah dimeterai bagi mewujudkan kekukuhan undang-undang antarabangsa terutamanya dalam aspek hak asasi manusia serta persempadanan marin dan udara contohnya Konvensyen Mengenai Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) yang telah menyelesaikan konflik Pulau Sipadan antara Malaysia-Indonesia dan konflik Pulau Leila antara Sepanyol-Maghribi. PBB juga berjaya menamatkan dasar apartheid di Afrika setelah menjalankan embargo ke atas Afrika Selatan sehinggalah kepada penganjuran pilihanraya Afrika Selatan yang pertama 1994.

Setelah kita menelusuri susur galur dan denai misi yang dibawa di bawah panji-panji PBB, adalah amat sukar untuk kita tampil dengan justifikasi bahawa PBB sudah tidak lagi relevan. Hakikatnya, ketidakupayaan PBB pada lewat dekad 90an dan kritikan yang berterusan terhadap PBB termasuk oleh Setiusaha Agungnya sendiri, Kofi Annan adalah merupakan sebahagian dari proses kematangan PBB dalam isu-isu keamanan di seantero dunia. Walau pun dalam dasawarsa ini, PBB kelihatan lemah gemalai apabila berdepan dengan tuntutan dan kehendak Amerika Syarikat, namun ia masih berperanan dan sekurang-kurangnya masih menjadi tunjang keadilan antarabangsa. Penguasaan Amerika Syarikat sebagai kuasa politik unipolar hari ini, tidak seharusnya dibiar subur dan berterusan hingga memusnahkan sama sekali hasrat muluk penubuhan PBB. Rantaian politik dunia ini sifatnya hanyalah satu peralihan iklim dek kerana tersungkurnya kuasa pengimbang yang boleh menyaingi dan memberi tekanan kepada Amerika Syarikat.

Penulis ingin mengambil premis yang jelas, bahawa PBB masih relevan. Tetapi beberapa perubahan perlu dilakukan. Dunia perlu bangkit dan melakukan reformasi politik, samada melalui instrumen politik mahu pun ekonomi. Kelemahan PBB hari ini adalah bertunjangkan kepada sikap negara bangsa yang berkepentingan dan suka bermain selamat. Negara yang gagah ekonominya seperti Jepun dan China terlalu mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan dunia yang lebih sarwajagat. Negara-negara lemah dan kecil lain seperti Australia dan Singapura lebih cenderung untuk mengampu dan mengambil sikap “lebih sudu dari kuah”. Negara-negara yang kaya dengan sumber asli seperti Arab Saudi, Kuwait, dan negara-negara lain di rantau Teluk, atau mudahnya negara-negara Timur Tengah hanya terlalu mementingkan diri dan mudah tunduk kepada telunjuk Amerika. Oleh itu, sebenarnya siapa yang telah menyumbang kepada kelesuan PBB? Kenapa kita masih bertuhankan diktator Amerika dan tidak pernah cuba untuk bangkit. Apabila Amerika dengan rakus menyerang dan menjajah Iraq, atas alasan ingin memusnahkan pusat WMD (Weapon of Mass Destruction), walau pun sudah terbukti ia satu pembohongan, kita hanya memprotes dalam diam kerana takutkan Amerika. Setiap kali Amerika terang-terangan menyebelahi Israel, apa yang mampu dilakukan oleh Dunia Islam khususnya melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Hakikatnya, kelemahan sebenar ialah kelemahan negara bangsa yang membentuk komposisi PBB. Oleh itu wajarkah kita menyatakan PBB sudah tidak relevan, sedangkan yang melemahkan badan dunia itu adalah sikap ahli-ahlinya sendiri.

Justeru melihat kepada sinopsis ini, PBB sebenarnya masih relevan! Pokoknya keseluruhan negara bangsa atau sebahagian darinya mesti mengambil pendekatan yang berani untuk mengubah iklim politik dunia. Tidaklah sukar untuk kita membantu melahirkan semula dan memperkasakan kuasa pengimbang kepada Amerika Syarikat. Contoh terbaik adalah gandingan Perancis dan Rusia sewaktu menentang perang ke atas Iraq. Walau buat masa ini Rusia masih belum pulih sepenuhnya dari demam keruntuhan empayar kekuatannya, tetapi dengan bantuan negara bangsa yang lain, Rusia boleh kembali dikuatkan untuk mengambil peranan sebagai aktor pengimbang. Negara bangsa yang lain perlu disedarkan dari lamunan dan mimpi mereka bahawa mereka hanya selamat dan aman apabila bertuhankan Amerika Syarikat. Mimpi sebegini hanyalah satu igauan sementara dan akan terbukti menjadi mitos.

Ada pendapat yang mencadangkan bahawa reformasi kepada struktur PBB perlu dilakukan dengan kepercayaan bahawa hanya ini sahaja yang dapat menyelamatkan maruah PBB. Cadangan yang hangat diperkatakan ialah dengan mengahapuskan kuasa Veto yang miliki oleh 5 anggota tetap Majlis Keselamatan, atau merubah kepada sistem 2 Veto dengan 3 sokongan ahli Majlis Keselamatan. Ada yang mencadangkan bahawa Perhimpunan Agung PBB perlu diberikuasa untuk melaksanakan apa-apa resolusi mengatasi peranan Majlis Keselamatan. Cadangan-cadangan ini walau pun baik tetapi masih jauh dari menyelamatkan PBB dan mengembalikan keyakinan dunia. Bagaimanakah dunia mampu mengubah struktur PBB jika setiap resolusi yang bercanggah dengan kepentingan dan nafsu Amerika Syarikat akan diveto sewenang-wenangnya? Penulis mengambil pendirian ini berdasar keyakinan bahawa walau apa reformasi yang dilakukan ke atas struktur PBB, ia tidak akan memberikan impak yang maksima. Lihatlah sahaja 5 anggota tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai Kuasa Veto seperti Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia, hanya Amerika Syarikat sahaja yang saban hari menggunakan kuasa veto tersebut. Hakikat ini jelas menunjukkan bahawa betapa angkuhnya Amerika Syarikat, manakala 4 lagi anggota yang lain masih dibayangi dengan ketakutan akan terjejas kepentingan mereka jika veto digunakan dalam isu-isu yang bercanggah dengan kepentingan Amerika Syarikat.

Justeru, dunia seharusnya kembali melihat tunjang sebenar tentang kenapa Amerika terlalu bermaharajalela. Sudah tentu kekuatan ekonomi dan militari menjadi sandaran utama. Oleh itu, dunia perlu kembali menganalisa sokongan-sokongan strategik kepada kemansangan ekonomi Amerika Syarikat dan membina hubungan ekonomi baru dengan negara-negara yang berpotensi menjadi kuasa pengimbang seperti Rusia dan Perancis. Dengan lemahnya kuasa ekonomi Amerika, sudah tentu kuasa ketenteraan mereka juga akan berkurangan. Jika negara Asia berupaya menukar kiblat mereka kepada satu gabungan kuasa baru, dan Timur Tengah pula tidak lagi bertuhankan Amerika, iklim politik dunia akan dapat diubah dengan lebih berkesan. Dengan itu, apa juga resolusi Perhimpunan Agung PBB dan keputusan Majlis Keselamatan akan lebih dihormati. Dari situ juga, tekanan untuk menghapuskan kuasa veto mungkin akan mendapat pertimbangan yang lebih serius dari 5 anggota tetap. Tentunya melaksanakan misi diplomasi dan meyakinkan negara anggota tentang reformasi menyeluruh berkenaan kekuatan dan sikap negara anggota, akan mengambil masa yang lama tetapi akan membuahkan hasil jangka panjang yang lebih terjamin. Pada analisa terakhir, keamanan dan kestabilan dunia akan dapat digapai bersama. Hukuman dan operasi keamanan ke atas negara-negara yang bermasaalah di bawah panji-panji PBB juga akan lebih dihormati. Maka misi PBB sebagai Polis Dunia akan menjadi realiti.

Kesimpulan mudah yang dapat dirangkumkan, dengan asimilasi fakta sejarah, kejayaan dan kelemahan PBB, sudah tentu jelas terbukti bahawa PBB masih relevan dan berperanan sebagai paksi keadilan dan keamanan dunia. Stigma yang masih belum dapat kita rungkaikan, adalah mekanisma untuk melumpuhkan kuasa unipolar Amerika Syarikat yang sentiasa mencabar maruah dan intergriti PBB. Apa pun, kerancuan politik dunia berada pada tangan seluruh negara bangsa! Jangan hanya kita marah dan bencikan Amerika Syarikat, kita mengatakan bahawa PBB sudah tidak relevan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu kita bakar!!!

MEMBINA MINDA PENDEBAT KELAS PERTAMA

Oleh: Mohd Faizi Bin Che Abu

Koresponden Borneo

26/8/2006: Melihat kepada pertandingan debat kemerdekaan baru-baru ini, saya menyimpulkan beberapa perkara yang perlu di beri perhatian oleh para pendebat universiti dalam pertandingan-pertandingan akan datang, supaya perdebatan tidak hanya di tunjangi oleh nafsu untuk membidas peribadi mereka yang berada di atas pentas ataupun di bangku penonton semata-mata. Bagi saya, setiap kejohanan debat mepunyai roh dan jiwanya tersendiri. Dalam debat kemerdekaan misalnya, adalah jelas bunga dan tarinya untuk menyemai semangat cintakan negara dan seluruh isinya, termasuk bahasa, budaya dan kaumnya. Begitu juga dengan Debat Alam Sekitar, sudah tentukan roh dan jiwa untuk memberikan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dan cara untuk mewariskan alam ini dgn sebaik-baiknya. Dalam apa jua keadaan, setiap benda yang di anjurkan pastia ada sebab musababnya. Kemampuan untuk mengenali dan mengadaptasi perkara ini bakal memberikan kelebihan dalam pendekatan setiap pasukan.

Sepanjang pengamatan saya, pendebat yang terlibat dalam debat kemerdekaan masih gagal untuk menggunakan sentimen dan jiwa kermerdekaan dalam pendekatan mereka untuk merungkaikan hujah dan bidasan. Seperti contoh, dalam membahaskan isu Tulisan Jawi Perlu Di Wajibkan Semula, seharusnya pihak kerajaan menggunakan semangat dan jiwa penulisan sejarah tanah air kita yang di mulai dengan tulisan jawi sebagai pembuka bicara bagi menggambarkan besar dan agungnya TULISAN yang semakin terpinggir ini. Hikayat Tun Sri Lanang, Penemuan Batu Bersurat yang bertulisan tulisan Jawi di Terengganu seharusnya menjadi hujah awalan bagi meletakkan prima facie kepentingan tulisan jawi. Maka barulah kupasan bangsa tanpa tulisan ibarat muzik tanpa irama akan mendapat tempat dan lebih menyentuh hati sanubari. Inilah semangat kemerdekaan yang ingin di pupuk melalui perdebatan. Maka dapat lah kita mematahkan hujah tentang bagaimana mungkin kita dapat mengeluarkan sisipan akhbar bertulisan JAWI, sistem perisian computer JAWI dan program realiti JAWI sekiranya tidak ada orang yang dapat memahaminya. Ibarat kata bijak pandai, Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya! Menanam minat untuk mecintai JAWI pastinya berkesan ketika di bangku sekolah. Dan harus diingat tulisan JAWI adalah satu kemahiran, tidak timbul soal selepas itu kita akan lupa kerana ianya tidak melibatkan formula mantik dan rumusan algebra. Dengan menekankan sentimen kemerdekaan sebeginilah, Pihak yang mencadangkan usul ini dapat membuat kesimpulan dengan jelas bahawa JAWI adalah Perlu di Wajibkan.

Begitu juga dalam mengupaskan Isu Kita Perlu Menoleh Ke Belakang. Rohnya ialah kita ingin belajar dari sejarah lampau, bagaimana menguruskan permasalahan atau cabaran di masa sekarang, bukannya menghalang kita dari melihat dan memacu kehadapan membina ketamadunan. Fakta Sejarah 13 Mei 1969 sudah tentu mengingatkan kita bahawa ada kalanya kita perlu berhenti sejenak dan mengenepi kepentingan sesuatu kaum demi menjaga kemaslahatan semua kaum. Krisis Politik 1987 hampir-hampir melemaskan kepimpinan Kerajaan dan menggugat kestabilan negara. Reformasi 1998 hampir sahaja menjadikan kota metropolitan Kuala Lumpur sebagai sebuah kotaraya samseng jalanan yang berupaya menghalau keluar pelancung dan pelabur asing, dan dengan itu akan melemahkan pencapaian ekonomi negara. Garapan simptom-simptom sejarah ini boleh di jadikan ukuran, sandaran dan pedoman tentang betapa pentingnya kita melihat kesan sejarah yang berlaku apabila pertembungan kepentingan antara kaum gagal untuk diselesaikan, pertembungan perebutan kuasa yang didiamkan dan perjuangan menobatkan seorang individu di jalanan yang bertentangan dengan undang-undang dan semangat demokrasi. Hasilnya sungguh menakutkan kita semua. Kuala Lumpur bermandikan darah manusia. Inilah sebabnya kenapa kita sesekali perlu menoleh ke belakang supaya ianya tidak berulang. Bak kata bidalan; Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Yang lebih penting dalam perdebatan, sebolehnya cubalah kita menghindarkan dari bercakap tentang konsep dan hujah bahasa semata-mata. Ianya bukan hanya merendahkan ketinggian martabat Mahasiswa malahan memualkan perut bagi mereka yang mendengarnya. Dalam pertandingan debat yang Roh dan Jiwanya berpaksikan sesuatu yang matang (seperti Kemerdekaan) permainan kata-kata dan konsep sahaja tentulah sesuatu yang tidak ingin kita dengari. Apalagi jika konsep yang cuba ditunjukkan seawal perdebatan tidak dipertahankan sehingga akhir perdebatan. Jika pun dipertahankan, apakah pasukan yang memperjuangkan konsep retorik itu berjaya melengkapkan retoriknya dengan fasa pembuktian yang menyakinkan. Saya fikir ini tidak pernah dilakukan. Bahkan terkadang, dikala pendebat terkinja-kinja memperjuangkan retorik pasukan, akhirnya hujahan mereka membidas rakan sendiri.

Contoh terbaik ialah tajuk Separuh Akhir Debat Kemerdekaan 2006 di antara UTM dan UIAM. Pendekatan untuk mempertikai sama ada sesuatu frasarana itu kelas pertama atau tidak hanya membawa liabiliti kepada Pasukan UIAM. Pertama, hujah pendebat UIAM tidak langsung menyokong pembiasan retorik yang dibawa oleh mereka sendiri. Kedua, ia memberikan bebanan yang tidak perlu ke atas kes pasukan mereka. Dengan itu tidak hairanlah apabila pendebat ketiga UIAM, telah membidas hujah pendebat keduanya sendiri, berkenaan dengan persoalan sama ada atau tidak KLCC adalah sebuah prasarana. Dengan penuh angkuh pendebat ketiga itu menyatakan bahawa KLCC bukan satu frasarana, semata-mata untuk mempelekehkan hujah lawan dari UTM. Malangnya satu dewan tergelak besar melihat gelagat ini, kerana jelas sekali melalui hujah pendebat kedua UIAM (bahkan melalui celahannya), beliau membawa dan mempertahankan KLCC sebagai prasarana kelas pertama. Kelemahan mentaliti pendebat sebegini amat memalukan! Apatah lagi ianya dilakukan oleh seorang pendebat yang “berpengalaman dari segi penyertaannya”.

Seharusnya perdebatan itu terus ke dasarnya iaitu dengan kemampuan kita menyediakan frasarana terbaik yang ada sekarang, apakah minda kita kekal di kelas kedua. Saya bukanlah bermaksud untuk menidakkan usaha yang di buat oleh kedua-dua pasukan bagi membentang kes masing-masing, tapi Isu Lubuk Tupah, Pingat dan Pengurusan boleh di kupas dengan lebih mendalam dan matang, bukannya senipis bidasan pendebat ketiga itu. Isu lubuk Tupah misalnya, dengan prasarana Internet yang mencakupi seluruh tanahair, pengguna kita menggunakan ia sebagai wadah yang utama untuk menyebarkan rakaman gelagat anak muda bangsa kita melalui kemudahan ini. Seharusnya kemudahan ini di gunakan untuk bertukar idea dan maklumat, bukannya Video Terlarang dengan memuat-turunkan aksi-aksi terlampau. Hanya Minda Kelas Kedua sahaja yang terlibat dan melibatkan diri dengan perkara negatif ini. Kewujudan laman web seperti akademidebat.com yang memberikan ruang kepada semua orang untuk mendapat ilmu dan berkongsi pengalaman dalam dunia perdebatan barangkali boleh di gunakan sebagai hujah Minda Kita juga kelas pertama. Melainkan kalau ada yang melihatnya sebagai menghina universiti sendiri, sedangkan yang di tegur adalah individu pendebat sahaja. Apakah menyerang sasaran di luar gelanggang perdebatan semata-mata untuk melampiaskan nafsu kesumat adalah minda kelas pertama? Minda Kelas Kedua tentunya tidak akan menerima kritikan akademidebat.com sebagai sesuatu yang menyumbang kerana takutkan kelemahan dan keaiban pasukan terbongkar. Jika ia tidak perkatakan melalui laman web ini, apakah semua hakim dan pendebat lain terlalu dangkal untuk menilainya? Menyamakan kritikan terhadap seorang dua individu pendebat yang terlalu angkuh dan bodoh sombong, apakah bersamaan dengan “mengutuk universiti sendiri”? Apatah lagi pendebat yang membuat tuduhan itu adalah pendebat yang menganggapnya sama mulia dengan kemuliaan institusi universiti. Inikah minda ini kelas pertama? Menghuni universiti yang indah sebagai prasarana kelas pertama dengan segala kemudahan yang canggih, tetapi tidak digunakan sebaiknya untuk membina minda kelas pertama. Menyedihkan! Bahkan lebih malang lagi, penganut minda kelas kedua ini bermatian-matian mempertahankan “Tuhan” ciptaan sendiri dan sanggup disembahi sekian lama, dengan mengenepikan prinsip Rabbani dan nilai intergriti. Ketepikan intergriti, persetankan amanah, lupakan perjuangan, asal tembolok sendiri terpelihara! Bukankah ini satu keangkuhan, bodoh sombong dan memalukan! Tamadun Dunia menyaksikan bahawa bangsa kelas pertama adalah bangsa yang sedia berhujah secara rasional dan matang. Bangsa Kelas Pertama adalah bangsa yang cintakan perdebatan, komen dan kritikan sebagai wadah untuk menguatkan keyakinan terhadap sesuatu pegangan, sebagai instrumen pembersihan najis-najis keangkuhan, sebagai mekanisme “pemuliharaan” nilai dan jatidiri. Apakan daya apabila emosi dan nafsu mengatasi akal ciptaan Ilahi.

Justeru, adalah amat penting bagi pendebat sekalian untuk mengunakan semangat pertandingan dalam pendekatan kerana ianya lebih meyakinkan. Malah paling utama, pendekatan tersebut akan mewujudkan kes-kes yang mudah di fahami dan tidak retorik mahupun truistik. Harus di ingat, tajuk debat kemerdekaan dan alam sekitar bukanlah di reka untuk memberi peluang untuk menunjukan siapakah yang lebih pandai bermain retorik bahasa, siapakah yang lebih banyak mengumpul dana kejuaraan, tetapi untuk membina jati diri insani yang tahu Negara dan Alam Sekitarnya ini adalah AMANAH yang tidak boleh di jual beli dengan mana-mana kedudukan dalam pasukan dan kepentingan diri sendiri.

Emosi dan Karekter Pendebat ketika berdebat juga memainkan peranan dalam FOKUS berdebat. Ini kerana kita yang berperang dengan orang luar semata-mata untuk mempertahankan kepastian yang di kelabui oleh kepentingan sendiri hanya merugikan pasukan debat univeristi pendebat itu. Jangan salah memilih musuh kalau pun ingin sangat bergaduh, kalau ingin sangat menjadi panglima, wahai anak muda! Melihat kepada EMOSI dan KAREKTER pendebat sekarang, saya melihat adanya peningkatan di kalangan para pendebat umumnya. Kurangnya serangan peribadi dan kata-kata nista ketika berdebat sebenarnya membantu kita menilai hujah lawan dengan lebih berkesan. Apatah lagi kalau suara dan gaya kita adalah seperti Ahli Parlimen Malaysia. Inilah barulah layak untuk dinobat sebagai Pemuda Harapan Bangsa.

Dengan memahami keutamaan fokus dalam berdebat dan kemampuan untuk meletakkan serangan peribadi atau kepentingan diri di luar gelangang, barulah akal kurniaan ILAHI ini dapat berfikir secari ADI supaya tidak lahir PERTANDINGAN DEBAT KELAS PERTAMA, MINDA PENDEBAT KELAS KEDUA! Bahkan terkadang, tidak layak untuk digolongkan dalam kedua-dua kategori itu…

Mohd Faizi Bin Che Abu

Rahsia Kamar Bicara