Rabu, 3 Februari 2010

MEMBINA MINDA PENDEBAT KELAS PERTAMA

Oleh: Mohd Faizi Bin Che Abu

Koresponden Borneo

26/8/2006: Melihat kepada pertandingan debat kemerdekaan baru-baru ini, saya menyimpulkan beberapa perkara yang perlu di beri perhatian oleh para pendebat universiti dalam pertandingan-pertandingan akan datang, supaya perdebatan tidak hanya di tunjangi oleh nafsu untuk membidas peribadi mereka yang berada di atas pentas ataupun di bangku penonton semata-mata. Bagi saya, setiap kejohanan debat mepunyai roh dan jiwanya tersendiri. Dalam debat kemerdekaan misalnya, adalah jelas bunga dan tarinya untuk menyemai semangat cintakan negara dan seluruh isinya, termasuk bahasa, budaya dan kaumnya. Begitu juga dengan Debat Alam Sekitar, sudah tentukan roh dan jiwa untuk memberikan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar dan cara untuk mewariskan alam ini dgn sebaik-baiknya. Dalam apa jua keadaan, setiap benda yang di anjurkan pastia ada sebab musababnya. Kemampuan untuk mengenali dan mengadaptasi perkara ini bakal memberikan kelebihan dalam pendekatan setiap pasukan.

Sepanjang pengamatan saya, pendebat yang terlibat dalam debat kemerdekaan masih gagal untuk menggunakan sentimen dan jiwa kermerdekaan dalam pendekatan mereka untuk merungkaikan hujah dan bidasan. Seperti contoh, dalam membahaskan isu Tulisan Jawi Perlu Di Wajibkan Semula, seharusnya pihak kerajaan menggunakan semangat dan jiwa penulisan sejarah tanah air kita yang di mulai dengan tulisan jawi sebagai pembuka bicara bagi menggambarkan besar dan agungnya TULISAN yang semakin terpinggir ini. Hikayat Tun Sri Lanang, Penemuan Batu Bersurat yang bertulisan tulisan Jawi di Terengganu seharusnya menjadi hujah awalan bagi meletakkan prima facie kepentingan tulisan jawi. Maka barulah kupasan bangsa tanpa tulisan ibarat muzik tanpa irama akan mendapat tempat dan lebih menyentuh hati sanubari. Inilah semangat kemerdekaan yang ingin di pupuk melalui perdebatan. Maka dapat lah kita mematahkan hujah tentang bagaimana mungkin kita dapat mengeluarkan sisipan akhbar bertulisan JAWI, sistem perisian computer JAWI dan program realiti JAWI sekiranya tidak ada orang yang dapat memahaminya. Ibarat kata bijak pandai, Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya! Menanam minat untuk mecintai JAWI pastinya berkesan ketika di bangku sekolah. Dan harus diingat tulisan JAWI adalah satu kemahiran, tidak timbul soal selepas itu kita akan lupa kerana ianya tidak melibatkan formula mantik dan rumusan algebra. Dengan menekankan sentimen kemerdekaan sebeginilah, Pihak yang mencadangkan usul ini dapat membuat kesimpulan dengan jelas bahawa JAWI adalah Perlu di Wajibkan.

Begitu juga dalam mengupaskan Isu Kita Perlu Menoleh Ke Belakang. Rohnya ialah kita ingin belajar dari sejarah lampau, bagaimana menguruskan permasalahan atau cabaran di masa sekarang, bukannya menghalang kita dari melihat dan memacu kehadapan membina ketamadunan. Fakta Sejarah 13 Mei 1969 sudah tentu mengingatkan kita bahawa ada kalanya kita perlu berhenti sejenak dan mengenepi kepentingan sesuatu kaum demi menjaga kemaslahatan semua kaum. Krisis Politik 1987 hampir-hampir melemaskan kepimpinan Kerajaan dan menggugat kestabilan negara. Reformasi 1998 hampir sahaja menjadikan kota metropolitan Kuala Lumpur sebagai sebuah kotaraya samseng jalanan yang berupaya menghalau keluar pelancung dan pelabur asing, dan dengan itu akan melemahkan pencapaian ekonomi negara. Garapan simptom-simptom sejarah ini boleh di jadikan ukuran, sandaran dan pedoman tentang betapa pentingnya kita melihat kesan sejarah yang berlaku apabila pertembungan kepentingan antara kaum gagal untuk diselesaikan, pertembungan perebutan kuasa yang didiamkan dan perjuangan menobatkan seorang individu di jalanan yang bertentangan dengan undang-undang dan semangat demokrasi. Hasilnya sungguh menakutkan kita semua. Kuala Lumpur bermandikan darah manusia. Inilah sebabnya kenapa kita sesekali perlu menoleh ke belakang supaya ianya tidak berulang. Bak kata bidalan; Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Yang lebih penting dalam perdebatan, sebolehnya cubalah kita menghindarkan dari bercakap tentang konsep dan hujah bahasa semata-mata. Ianya bukan hanya merendahkan ketinggian martabat Mahasiswa malahan memualkan perut bagi mereka yang mendengarnya. Dalam pertandingan debat yang Roh dan Jiwanya berpaksikan sesuatu yang matang (seperti Kemerdekaan) permainan kata-kata dan konsep sahaja tentulah sesuatu yang tidak ingin kita dengari. Apalagi jika konsep yang cuba ditunjukkan seawal perdebatan tidak dipertahankan sehingga akhir perdebatan. Jika pun dipertahankan, apakah pasukan yang memperjuangkan konsep retorik itu berjaya melengkapkan retoriknya dengan fasa pembuktian yang menyakinkan. Saya fikir ini tidak pernah dilakukan. Bahkan terkadang, dikala pendebat terkinja-kinja memperjuangkan retorik pasukan, akhirnya hujahan mereka membidas rakan sendiri.

Contoh terbaik ialah tajuk Separuh Akhir Debat Kemerdekaan 2006 di antara UTM dan UIAM. Pendekatan untuk mempertikai sama ada sesuatu frasarana itu kelas pertama atau tidak hanya membawa liabiliti kepada Pasukan UIAM. Pertama, hujah pendebat UIAM tidak langsung menyokong pembiasan retorik yang dibawa oleh mereka sendiri. Kedua, ia memberikan bebanan yang tidak perlu ke atas kes pasukan mereka. Dengan itu tidak hairanlah apabila pendebat ketiga UIAM, telah membidas hujah pendebat keduanya sendiri, berkenaan dengan persoalan sama ada atau tidak KLCC adalah sebuah prasarana. Dengan penuh angkuh pendebat ketiga itu menyatakan bahawa KLCC bukan satu frasarana, semata-mata untuk mempelekehkan hujah lawan dari UTM. Malangnya satu dewan tergelak besar melihat gelagat ini, kerana jelas sekali melalui hujah pendebat kedua UIAM (bahkan melalui celahannya), beliau membawa dan mempertahankan KLCC sebagai prasarana kelas pertama. Kelemahan mentaliti pendebat sebegini amat memalukan! Apatah lagi ianya dilakukan oleh seorang pendebat yang “berpengalaman dari segi penyertaannya”.

Seharusnya perdebatan itu terus ke dasarnya iaitu dengan kemampuan kita menyediakan frasarana terbaik yang ada sekarang, apakah minda kita kekal di kelas kedua. Saya bukanlah bermaksud untuk menidakkan usaha yang di buat oleh kedua-dua pasukan bagi membentang kes masing-masing, tapi Isu Lubuk Tupah, Pingat dan Pengurusan boleh di kupas dengan lebih mendalam dan matang, bukannya senipis bidasan pendebat ketiga itu. Isu lubuk Tupah misalnya, dengan prasarana Internet yang mencakupi seluruh tanahair, pengguna kita menggunakan ia sebagai wadah yang utama untuk menyebarkan rakaman gelagat anak muda bangsa kita melalui kemudahan ini. Seharusnya kemudahan ini di gunakan untuk bertukar idea dan maklumat, bukannya Video Terlarang dengan memuat-turunkan aksi-aksi terlampau. Hanya Minda Kelas Kedua sahaja yang terlibat dan melibatkan diri dengan perkara negatif ini. Kewujudan laman web seperti akademidebat.com yang memberikan ruang kepada semua orang untuk mendapat ilmu dan berkongsi pengalaman dalam dunia perdebatan barangkali boleh di gunakan sebagai hujah Minda Kita juga kelas pertama. Melainkan kalau ada yang melihatnya sebagai menghina universiti sendiri, sedangkan yang di tegur adalah individu pendebat sahaja. Apakah menyerang sasaran di luar gelanggang perdebatan semata-mata untuk melampiaskan nafsu kesumat adalah minda kelas pertama? Minda Kelas Kedua tentunya tidak akan menerima kritikan akademidebat.com sebagai sesuatu yang menyumbang kerana takutkan kelemahan dan keaiban pasukan terbongkar. Jika ia tidak perkatakan melalui laman web ini, apakah semua hakim dan pendebat lain terlalu dangkal untuk menilainya? Menyamakan kritikan terhadap seorang dua individu pendebat yang terlalu angkuh dan bodoh sombong, apakah bersamaan dengan “mengutuk universiti sendiri”? Apatah lagi pendebat yang membuat tuduhan itu adalah pendebat yang menganggapnya sama mulia dengan kemuliaan institusi universiti. Inikah minda ini kelas pertama? Menghuni universiti yang indah sebagai prasarana kelas pertama dengan segala kemudahan yang canggih, tetapi tidak digunakan sebaiknya untuk membina minda kelas pertama. Menyedihkan! Bahkan lebih malang lagi, penganut minda kelas kedua ini bermatian-matian mempertahankan “Tuhan” ciptaan sendiri dan sanggup disembahi sekian lama, dengan mengenepikan prinsip Rabbani dan nilai intergriti. Ketepikan intergriti, persetankan amanah, lupakan perjuangan, asal tembolok sendiri terpelihara! Bukankah ini satu keangkuhan, bodoh sombong dan memalukan! Tamadun Dunia menyaksikan bahawa bangsa kelas pertama adalah bangsa yang sedia berhujah secara rasional dan matang. Bangsa Kelas Pertama adalah bangsa yang cintakan perdebatan, komen dan kritikan sebagai wadah untuk menguatkan keyakinan terhadap sesuatu pegangan, sebagai instrumen pembersihan najis-najis keangkuhan, sebagai mekanisme “pemuliharaan” nilai dan jatidiri. Apakan daya apabila emosi dan nafsu mengatasi akal ciptaan Ilahi.

Justeru, adalah amat penting bagi pendebat sekalian untuk mengunakan semangat pertandingan dalam pendekatan kerana ianya lebih meyakinkan. Malah paling utama, pendekatan tersebut akan mewujudkan kes-kes yang mudah di fahami dan tidak retorik mahupun truistik. Harus di ingat, tajuk debat kemerdekaan dan alam sekitar bukanlah di reka untuk memberi peluang untuk menunjukan siapakah yang lebih pandai bermain retorik bahasa, siapakah yang lebih banyak mengumpul dana kejuaraan, tetapi untuk membina jati diri insani yang tahu Negara dan Alam Sekitarnya ini adalah AMANAH yang tidak boleh di jual beli dengan mana-mana kedudukan dalam pasukan dan kepentingan diri sendiri.

Emosi dan Karekter Pendebat ketika berdebat juga memainkan peranan dalam FOKUS berdebat. Ini kerana kita yang berperang dengan orang luar semata-mata untuk mempertahankan kepastian yang di kelabui oleh kepentingan sendiri hanya merugikan pasukan debat univeristi pendebat itu. Jangan salah memilih musuh kalau pun ingin sangat bergaduh, kalau ingin sangat menjadi panglima, wahai anak muda! Melihat kepada EMOSI dan KAREKTER pendebat sekarang, saya melihat adanya peningkatan di kalangan para pendebat umumnya. Kurangnya serangan peribadi dan kata-kata nista ketika berdebat sebenarnya membantu kita menilai hujah lawan dengan lebih berkesan. Apatah lagi kalau suara dan gaya kita adalah seperti Ahli Parlimen Malaysia. Inilah barulah layak untuk dinobat sebagai Pemuda Harapan Bangsa.

Dengan memahami keutamaan fokus dalam berdebat dan kemampuan untuk meletakkan serangan peribadi atau kepentingan diri di luar gelangang, barulah akal kurniaan ILAHI ini dapat berfikir secari ADI supaya tidak lahir PERTANDINGAN DEBAT KELAS PERTAMA, MINDA PENDEBAT KELAS KEDUA! Bahkan terkadang, tidak layak untuk digolongkan dalam kedua-dua kategori itu…

Mohd Faizi Bin Che Abu

Rahsia Kamar Bicara

Tiada ulasan: