Rabu, 3 Februari 2010

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MASIH RELEVAN DALAM MEMELIHARA KEAMANAN DAN KEADILAN DUNIA

[Artikel ini telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Menulis Makalah Undang-Undang, anjuran Jawatankuasa Bahasa Melayu, Majlis Peguam Malaysia]

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MASIH RELEVAN DALAM MEMELIHARA KEAMANAN DAN KEADILAN DUNIA

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud

27/7/2006: Keamanan merupakan perkara pokok bagi sesebuah negara bangsa. Ini kerana keamanan merupakan asas kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Dalam konteks antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merupakan badan tunggal yang berperanan dalam memastikan keamanan dan keselamatan di kalangan negara anggota dapat dikekalkan, dan lebih penting mempunyai keupayaan untuk mencorakkan iklim politik dunia supaya kekal aman dan harmonis.

Idea mengenai perlunya sebuah pertubuhan antarabangsa bebas untuk memastikan kelangsungan keamanan dan keselamatan antarabangsa bermula seawal 1941 apabila Presiden Franklin D. Roosevelt dan Perdanan Menteri Winston Churchill menandatagani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 di atas kapal HMS Prince of Wales. Piagam tersebut mengandungi prinsip-prinsip asas mengenai kerjasama antarabangsa dalam mengekalkan simbiosis keamanan antarabangsa.

Piagam ini telah mendapat sokongan daripada negara-negara Bersekutu pada masa itu apabila sebanyak 26 wakil negara-negara Bersekutu telah bersetuju untuk menandatangani suatu perisytiharan yang menyatakan sokongan terhadap Piagam Atlantik dalam usaha mereka untuk menentang Kuasa-kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Itali,dan Jepun. Perisytiharan ini telah memperkenalkan buat pertama kalinya istilah “United Nations” yang dicadangkan oleh Presiden Roosevelt.

Empat kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan United Kingdom juga menyatakan persetujuan mengenai keperluan mewujudkan badan tersebut. Lantaran itu, bertempat di Moscow pada 30 Oktober 1943, negara-negara ini telah bersama-sama bersetuju untuk menandatangani satu deklarasi yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil inisiatif awal bagi menubuhkan badan tersebut. Matlamat ini juga telah disuarakan semasa mesyuarat pemimpin negara-negara tersebut di Tehran, pada 1 Disember 1943.

Impian mengenai kewujudan PBB semakin jelas apabila rangka kerja mengenainya telah disiapkan pada Persidangan Dumbarton Oaks di Washington D.C. bermula 21 September sehingga 7 Oktober 1944. Negara-negara yang terlibat dalam proses persiapan rangka kerja PBB terdiri daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, dan United Kingdom. Malah, tiga ikon politik dunia pada ketika itu iaitu Roosevelt, Winston Churchill, dan Stalin telah pun menyuarakan keprihatinan mereka mengenai pembentukan badan antarabangsa yang mampu mengawal selia keamanan dunia semasa Persidangan Yalta yang diadakan pada 11 Februari 1945 di Yalta, USSR.

Penubuhan PBB akhirnya menjadi kenyataan apabila 50 delegasi negara-negara dunia telah menghadiri Persidangan San Francisco pada 25 April 1945 dan menyiapkan Piagam PBB dengan 111 artikel. PBB diiktiraf sebagai badan dunia rasmi pada 24 Oktober 1945 apabila kesemua lima anggota Majlis Keselamatan PBB dan majoriti daripada negara-negara anggota telah bersetuju untuk meratifikasi Piagam PBB. Akhirnya, terlakar dalam kanvas sejarah dunia pada 10 Januari 1946, PBB mengadakan Perhimpunan Agung pertama yang diadakan di Central Hall, Westminster dengan kehadiran sejumlah 51 negara sebagai ahli terawal PBB.

Selaku badan dunia tunggal dan terbesar, PBB ditubuhkan dengan beberapa matlamat utama sebagaimana yang telah digariskan dalam Artikel 1 Piagam PBB, antara lain menyenaraikan: (1) Mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, (2) Mewujudkan hubungan baik antara negara-negara bangsa, (3) Mencapai kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa mengenai ekonomi, sosial, budaya, dan lain-lain, (4) Menjadi pusat negara-negara bangsa merangka dan mengambil tindakan berhubung isu-isu (1) hingga (3). Matlamat-matlamat tersebut tertakluk kepada Artikel 2 yang menerangkan tujuh prinsip asas tindakan PBB antaranya mengambil tindakan dengan menghormati sensitiviti dan kepentingan negara anggota.

Secara asasnya, Artikel 7 menggariskan komponen-komponen utama PBB yang terdiri daripada Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung, Majlis Ekonomi dan Sosial, Setiausaha Agung, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, serta Majlis Pemegang Amanah.

Komposisi Majlis Keselamatan, seperti yang diterangkan dalam Artikel 23, terdiri daripada 15 anggota: 5 ahli tetap iaitu Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia serta 10 ahli tidak tetap yang dipilih dua tahun sekali berdasarkan Artikel 23(2). Tanggungjawab Majlis Keselamatan tersenarai dalam Bahagian VI, VII, VIII, dan XII Piagam PBB. Setiap keputusan yang dicapai oleh Majlis Keselamatan akan dipatuhi oleh PBB dan mana-mana badan boleh dilantik oleh Majlis Keselamatan sekiranya dirasakan perlu dalam membantu pelaksanaan tugas khususnya dalam mencapai suatu resolusi. Anggota tetap Majlis Keselamatan juga mempunyai kuasa pembatal atau veto yang boleh membatalkan sebarang resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan.

Majlis Ekonomi dan Sosial pula berperanan melakukan kajian dan laporan kepada PBB mengenai isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial antarabangsa. Majlis ini juga, seperti yang termaktub dalam Artikel 62(2) dan (3), mempunyai kuasa untuk memberi cadangan dan membuat draf konvensyen mengenai ekonomi dan sosial di peringkat antarabangsa. Majlis Ekonomi dan Sosial, dalam Artikel 61, terdiri daripada 54 ahli yang dilantik oleh Perhimpunan Agung (UNGA)

Berdasarkan Artikel 93(1), kesemua negara anggota PBB adalah ahli ipso facto kepada Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Walau bagaimanapun, badan yang mempunyai kuasa untuk memberi pendapat dan pandangan terhadap isu berkaitan perundangan, juga boleh disertai oleh negara bukan ahli tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.

Setelah meneliti idea, konsep, matlamat, hierarki, dan modus operandi PBB, kita sewajarnya, dalam menentukan relevansi PBB dalam memelihara keamanan dan keadilan antarabangsa, menganalisa pola perubahan politik dunia . Politik dunia yang pada awalnya adalah merupakan paksi multipolar sewaktu gawatnya kancah perang dunia kedua, telah bertukar kepada dunia dwipolar dengan kecundangnya gagasan Nazi, Jepun dan China. Kuasa dwipolar pula menyaksikan persaingan pembentukan iklim politik oleh Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Selepas kejatuhan empayar Soviet pada 1989, Amerika Syarikat telah muncul sebagai kuasa unipolar dunia tanpa kehadiran mana-mana kuasa pengimbang sehinggalah ke hari ini. Fenomena ini seolah-olah “menghalalkan” Amerika Syarikat untuk terus melanggar dan tidak mengendahkan apa-apa resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan. Contohnya, Resolusi 1441 yang menghalang serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq hanya dipandang sepi oleh Amerika Syarikat sambil Amerika Syarikat sebenarnya mempersiap bala tentera menuju ke Iraq.

Situasi sebegini sedikit sebanyak telah mencipta prejudis dan stigma masyarakat antarabangsa terhadap PBB. Masih wajarkah PBB dilabelkan sebagai badan pengaman dunia di sebalik kerakusan Amerika Syarikat? Masih adakah keupayaan dan ruang untuk PBB bertindak menghalang atau sekurang-kurangnya mengurangkan kegilaan Amerika Syarikat? Siapakah “tangan” yang menggerakkan catur politik dunia? Adakah PBB dalang atau sekadar membiarkan petualang?

Sebagai masyarakat antarabangsa yang rasional dan adil, kita tidak sewajarnya menjadikan pola perubahan politik dunia ini sebagai satu-satunya asas yang menjustifikasikan kewajaran kita dalam membuat penilaian sama ada PBB relevan ataupun tidak. Maka dalam analisa seterusnya, kita perlu sedar bahawa prejudis yang dilontarkan terhadap PBB sebenarnya tidak lebih daripada suatu hukuman yang bersifat melulu tanpa meneliti apakah sebenarnya yang mendasari konflik antarabangsa.

Dalam kebuntuan mencari penyelesaian terhadap sesuatu konflik antarabangsa, kita mengharapkan masyarakat dunia berupaya memahami apakah sebenarnya yang mendasari kegagalan tersebut sama ada berpunca sepenuhnya daripada ketidakupayaan PBB ataupun lebih disebabkan oleh kedegilan dan kejahilan sebahagian kecil negara-negara parti. Ini adalah penting agar kita, pada analisa terakhir, tidak serkap jarang atau hentam keromo dalam menilai relevansi PBB sebagai badan pengaman dunia.

Konflik Timur Tengah misalnya, telah menonjolkan sikap negara yang tidak komited ke arah penyelesaian masalah apatah lagi untuk mewujudkan sebuah dunia yang aman. Perbalahan Israel-Palestin yang berlanjutan selama empat dekad tidak wajar dijadikan alasan kukuh untuk kita menuding jari ke arah PBB yang sebenarnya telah menjadi penggerak proses damai misalnya melalui perisytiharan yang dilakukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai pembinaan tembok pemisahan wilayah Israel-Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang dan etika persempadanan antarabangsa. Malah PBB melalui UNRWA (United Nations Relief and Works Agency) telah melindungi kebajikan rakyat Palestin selama empat generasi dengan menyediakan pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan, dan khidmat sosial dan sehingga kini, seramai 2.9 juta pelarian Timur Tengah berada di bawah seliaan UNRWA. Sikap keras kepala Israel yang tidak pernah memberikan kerjasama dalam mana-mana proses damai tidak sewajarnya diterjemahkan sebagai kegagalan PBB dalam menjalankan fungsinya.

Dalam kes Iraq, PBB sekali lagi menjadi mangsa ketidakadilan masyarakat dunia apabila PBB dipersalahkan kerana kononnya gagal menghalang serakah Presiden Bush dan Tony Blair untuk menundukkan Saddam dan menakluk bumi Iraq. PBB sebenarnya telah pun menjalankan tugas yang terbaik dengan kapasiti yang ada selaku badan pengaman dunia dengan mengeluarkan resolusi menghalang dan mengecam tindakan Amerika Syarikat tetapi dominasi dan hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa unipolar sebenarnya mencadangkan bahawa kita sebenarnya memerlukan kuasa pengimbang dan bukannya untuk mempertikaikan relevansi PBB sebagai badan dunia dalam memelihara keamanan dan keadilan dunia yang menjadi platform kepada negara-negara dunia.

Isu-isu semerta di peringkat antarabangsa bukanlah kayu ukur yang terbaik untuk menilai sama ada PBB masih relevan ataupun tidak dalam memelihara keamanan dan keadilan dunia. Siri kejayaan PBB bermula seawal penubuhannya perlu diimbau dan diambil kira dalam menilai keberkesanan PBB dalam mencapai matlamatnya.

Dalam mengekalkan keamanan dunia, PBB telah mewujudkan 54 pasukan pengaman di seluruh dunia sehingga September 2001 dengan 15 daripadanya adalah sangat aktif seperti di Congo dan Rwanda. PBB juga telah berjaya mengakhiri beberapa konflik antarabangsa berskala besar contohnya perang Iran-Iraq 1980 - 1988, kemasukan tentera Kesatuan Soviet ke Afghanistan, dan perang saudara di El Salvador. 12 konvensyen telah berjaya dimeterai bagi mengatasi masalah kepengganasan antaranya seperti Konvensyen Tokyo 1963 yang berkisar mengenai kesalahan dan tindakan yang dilakukan di dalam pesawat, Konvensyen Hague 1970 mengenai rampasan pesawat, Konvensyen Montreal 1971 mengenai tindakan salah terhadap penerbangan awam, Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Terhadap Orang Yang Diberi Perlindungan Antarabangsa Termasuk Perisik Diplomatik 1973 yang membincangkan perlindungan terhadap ketua-ketua negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta menteri-menteri luar dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Sekatan Pengeboman oleh Pengganas 1997 yang menyentuh isu pengebom berani mati.

Menyentuh skop keadilan dunia, sumbangan PBB juga bukan sedikit. PBB telah berjaya menghidupkan demokrasi di beberapa buah negara dengan memberikan nasihat pilihanraya dan khidmat pemantauan keputusan pilihanraya. Antara negara yang terlibat ialah Kemboja, Namibia, El Salvador, Eritrea, Mozambique, Nicaragua, Afrika Selatan, Kosovo, dan terbaru, Timor Leste. Lebih 300 perjanjian di peringkat antarabangsa telah dimeterai bagi mewujudkan kekukuhan undang-undang antarabangsa terutamanya dalam aspek hak asasi manusia serta persempadanan marin dan udara contohnya Konvensyen Mengenai Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) yang telah menyelesaikan konflik Pulau Sipadan antara Malaysia-Indonesia dan konflik Pulau Leila antara Sepanyol-Maghribi. PBB juga berjaya menamatkan dasar apartheid di Afrika setelah menjalankan embargo ke atas Afrika Selatan sehinggalah kepada penganjuran pilihanraya Afrika Selatan yang pertama 1994.

Setelah kita menelusuri susur galur dan denai misi yang dibawa di bawah panji-panji PBB, adalah amat sukar untuk kita tampil dengan justifikasi bahawa PBB sudah tidak lagi relevan. Hakikatnya, ketidakupayaan PBB pada lewat dekad 90an dan kritikan yang berterusan terhadap PBB termasuk oleh Setiusaha Agungnya sendiri, Kofi Annan adalah merupakan sebahagian dari proses kematangan PBB dalam isu-isu keamanan di seantero dunia. Walau pun dalam dasawarsa ini, PBB kelihatan lemah gemalai apabila berdepan dengan tuntutan dan kehendak Amerika Syarikat, namun ia masih berperanan dan sekurang-kurangnya masih menjadi tunjang keadilan antarabangsa. Penguasaan Amerika Syarikat sebagai kuasa politik unipolar hari ini, tidak seharusnya dibiar subur dan berterusan hingga memusnahkan sama sekali hasrat muluk penubuhan PBB. Rantaian politik dunia ini sifatnya hanyalah satu peralihan iklim dek kerana tersungkurnya kuasa pengimbang yang boleh menyaingi dan memberi tekanan kepada Amerika Syarikat.

Penulis ingin mengambil premis yang jelas, bahawa PBB masih relevan. Tetapi beberapa perubahan perlu dilakukan. Dunia perlu bangkit dan melakukan reformasi politik, samada melalui instrumen politik mahu pun ekonomi. Kelemahan PBB hari ini adalah bertunjangkan kepada sikap negara bangsa yang berkepentingan dan suka bermain selamat. Negara yang gagah ekonominya seperti Jepun dan China terlalu mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan dunia yang lebih sarwajagat. Negara-negara lemah dan kecil lain seperti Australia dan Singapura lebih cenderung untuk mengampu dan mengambil sikap “lebih sudu dari kuah”. Negara-negara yang kaya dengan sumber asli seperti Arab Saudi, Kuwait, dan negara-negara lain di rantau Teluk, atau mudahnya negara-negara Timur Tengah hanya terlalu mementingkan diri dan mudah tunduk kepada telunjuk Amerika. Oleh itu, sebenarnya siapa yang telah menyumbang kepada kelesuan PBB? Kenapa kita masih bertuhankan diktator Amerika dan tidak pernah cuba untuk bangkit. Apabila Amerika dengan rakus menyerang dan menjajah Iraq, atas alasan ingin memusnahkan pusat WMD (Weapon of Mass Destruction), walau pun sudah terbukti ia satu pembohongan, kita hanya memprotes dalam diam kerana takutkan Amerika. Setiap kali Amerika terang-terangan menyebelahi Israel, apa yang mampu dilakukan oleh Dunia Islam khususnya melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Hakikatnya, kelemahan sebenar ialah kelemahan negara bangsa yang membentuk komposisi PBB. Oleh itu wajarkah kita menyatakan PBB sudah tidak relevan, sedangkan yang melemahkan badan dunia itu adalah sikap ahli-ahlinya sendiri.

Justeru melihat kepada sinopsis ini, PBB sebenarnya masih relevan! Pokoknya keseluruhan negara bangsa atau sebahagian darinya mesti mengambil pendekatan yang berani untuk mengubah iklim politik dunia. Tidaklah sukar untuk kita membantu melahirkan semula dan memperkasakan kuasa pengimbang kepada Amerika Syarikat. Contoh terbaik adalah gandingan Perancis dan Rusia sewaktu menentang perang ke atas Iraq. Walau buat masa ini Rusia masih belum pulih sepenuhnya dari demam keruntuhan empayar kekuatannya, tetapi dengan bantuan negara bangsa yang lain, Rusia boleh kembali dikuatkan untuk mengambil peranan sebagai aktor pengimbang. Negara bangsa yang lain perlu disedarkan dari lamunan dan mimpi mereka bahawa mereka hanya selamat dan aman apabila bertuhankan Amerika Syarikat. Mimpi sebegini hanyalah satu igauan sementara dan akan terbukti menjadi mitos.

Ada pendapat yang mencadangkan bahawa reformasi kepada struktur PBB perlu dilakukan dengan kepercayaan bahawa hanya ini sahaja yang dapat menyelamatkan maruah PBB. Cadangan yang hangat diperkatakan ialah dengan mengahapuskan kuasa Veto yang miliki oleh 5 anggota tetap Majlis Keselamatan, atau merubah kepada sistem 2 Veto dengan 3 sokongan ahli Majlis Keselamatan. Ada yang mencadangkan bahawa Perhimpunan Agung PBB perlu diberikuasa untuk melaksanakan apa-apa resolusi mengatasi peranan Majlis Keselamatan. Cadangan-cadangan ini walau pun baik tetapi masih jauh dari menyelamatkan PBB dan mengembalikan keyakinan dunia. Bagaimanakah dunia mampu mengubah struktur PBB jika setiap resolusi yang bercanggah dengan kepentingan dan nafsu Amerika Syarikat akan diveto sewenang-wenangnya? Penulis mengambil pendirian ini berdasar keyakinan bahawa walau apa reformasi yang dilakukan ke atas struktur PBB, ia tidak akan memberikan impak yang maksima. Lihatlah sahaja 5 anggota tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai Kuasa Veto seperti Amerika Syarikat, China, Britain, Perancis, dan Rusia, hanya Amerika Syarikat sahaja yang saban hari menggunakan kuasa veto tersebut. Hakikat ini jelas menunjukkan bahawa betapa angkuhnya Amerika Syarikat, manakala 4 lagi anggota yang lain masih dibayangi dengan ketakutan akan terjejas kepentingan mereka jika veto digunakan dalam isu-isu yang bercanggah dengan kepentingan Amerika Syarikat.

Justeru, dunia seharusnya kembali melihat tunjang sebenar tentang kenapa Amerika terlalu bermaharajalela. Sudah tentu kekuatan ekonomi dan militari menjadi sandaran utama. Oleh itu, dunia perlu kembali menganalisa sokongan-sokongan strategik kepada kemansangan ekonomi Amerika Syarikat dan membina hubungan ekonomi baru dengan negara-negara yang berpotensi menjadi kuasa pengimbang seperti Rusia dan Perancis. Dengan lemahnya kuasa ekonomi Amerika, sudah tentu kuasa ketenteraan mereka juga akan berkurangan. Jika negara Asia berupaya menukar kiblat mereka kepada satu gabungan kuasa baru, dan Timur Tengah pula tidak lagi bertuhankan Amerika, iklim politik dunia akan dapat diubah dengan lebih berkesan. Dengan itu, apa juga resolusi Perhimpunan Agung PBB dan keputusan Majlis Keselamatan akan lebih dihormati. Dari situ juga, tekanan untuk menghapuskan kuasa veto mungkin akan mendapat pertimbangan yang lebih serius dari 5 anggota tetap. Tentunya melaksanakan misi diplomasi dan meyakinkan negara anggota tentang reformasi menyeluruh berkenaan kekuatan dan sikap negara anggota, akan mengambil masa yang lama tetapi akan membuahkan hasil jangka panjang yang lebih terjamin. Pada analisa terakhir, keamanan dan kestabilan dunia akan dapat digapai bersama. Hukuman dan operasi keamanan ke atas negara-negara yang bermasaalah di bawah panji-panji PBB juga akan lebih dihormati. Maka misi PBB sebagai Polis Dunia akan menjadi realiti.

Kesimpulan mudah yang dapat dirangkumkan, dengan asimilasi fakta sejarah, kejayaan dan kelemahan PBB, sudah tentu jelas terbukti bahawa PBB masih relevan dan berperanan sebagai paksi keadilan dan keamanan dunia. Stigma yang masih belum dapat kita rungkaikan, adalah mekanisma untuk melumpuhkan kuasa unipolar Amerika Syarikat yang sentiasa mencabar maruah dan intergriti PBB. Apa pun, kerancuan politik dunia berada pada tangan seluruh negara bangsa! Jangan hanya kita marah dan bencikan Amerika Syarikat, kita mengatakan bahawa PBB sudah tidak relevan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu kita bakar!!!

Tiada ulasan: