Jumaat, 19 Mac 2010

DEKLARASI KOTA KINABALU

KAWASAN pergunungan dan gunung mempunyai sejarah dan pertalian rapat
dengan manusia. Sebagai contoh, fahaman tradisi masyarakat Kadazandusun di
Sabah menganggap tuhan mereka yang dikenali sebagai Kinoringan berada di
Gunung Kinabalu dan roh mereka yang mati akan disemadikan di puncak gunung
itu.
Sehingga kini, kepercayaan itu masih dianuti sebahagian masyarakat itu
terutama mereka yang tinggal di persekitaran Taman Negara Kinabalu.
Bagaimanapun, menurut fakta sains, banjaran gunung dan gunung terbentuk
daripada pergerakan kerak bumi yang bertembung.
Sekiranya kedua-kedua kerak bumi menjulang naik, maka banjaran gunung
akan terhasil tetapi jika salah satu kerak bumi terlipat di bawah kerak
bumi yang lain, ia akan menghasilkan gunung berapi.
Antara kepentingan kawasan pergunungan terhadap bumi dan kehidupan
manusia ialah pemberi kesan terhadap perubahan cuaca kerana menjadi
halangan kepada pergerakan awan; sebagai kawasan utama tadahan air dan
menjadi sumber penting bekalan air asli dan bersih; sumber galian, produk
hutan dan pertanian; sumber tenaga, kesejagatan biologi, flora dan fauna;
penempatan penduduk; serta menjadi kawasan tarikan pelancongan dan sumber
ilham untuk golongan penggiat seni.
Kepentingan kawasan pergunungan itu sudah dijelaskan dalam al-Quran
dalam 36 ayat iaitu lima dalam bentuknya yang tunggal iaitu `Jabal'
manakala 31 ayat dalam bentuk plural iaitu `Jibal'.
Selain itu, ada perkataan `tur' dan `tawd' yang memberi maksud mengenai
gunung, dengan `tur' disebut 10 kali dan `tawd' disebut sekali.
Ketua Jabatan Komunikasi Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Mohd Yusof Husain, berkata
ayat-ayat dalam al-Quran merujuk pergunungan dan tanah tinggi dalam
pelbagai bentuk karakter, fungsi dan gambarannya sebagai hasil ciptaan
Allah.
Beliau berkata, antaranya ialah merujuk kawasan pergunungan sebagai
sumber bekalan dan agihan air kepada seluruh kehidupan makhluk bumi
sebagaimana disebut dalam ayat 13:3 surah Al-Ra'd serta fungsinya sebagai
sanktuari haiwan dan lebah sebagaimana disebut dalam ayat 16:68 surah Al-
Nahl.
Katanya, al-Quran turut menyebut sesuatu gunung secara khusus iaitu
Gunung Sinai ketika Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah dalam ayat 143
hingga 145 surah Al-A'raf serta Bukit Safa dan Marwah sebagai simbol
kebesaran Allah dalam ayat 2:158 surah Al-Baqarah.
"Al-Quran menyatakan secara terperinci mengenai kepentingan kawasan
pergunungan dalam kehidupan manusia.
"Dalam Islam, gunung-ganang bukan saja dicipta sebagai pasak bumi,
tetapi juga pedoman kepada manusia mengagungkan kebesaran Allah, justeru
ia mesti dipulihara sehingga kiamat," katanya ketika membentangkan kertas
kerja bertajuk `Pertalian antara Pergunungan dengan Islam' pada
Persidangan Antarabangsa Mengenai Budaya dan Sains di Pergunungan yang
diadakan pada 9 dan 10 Julai lalu di Taman Negara Kinabalu di Kundasang,
Sabah.
Persidangan itu diadakan sempena pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) menjadikan tahun ini, 2002, sebagai Tahun Antarabangsa
Pergunungan, sejajar dengan inisiatif Sidang Puncak Bumi di Rio de
Janeiro, Brazil, pada 1992 berhubung pembangunan mapan pergunungan.
Selain persidangan itu, dua lagi acara diadakan sebagai sambutan Tahun
Pergunungan Antarabangsa di Malaysia, iaitu Dialog Antarabangsa
Pemuliharaan Warisan Bumi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan
pada 8 Julai lalu dan dan Kem Seni Inspirasi Sains (10-13 Julai) di Taman
Negara Kinabalu.
Acara itu anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti
Kebangsaan Malaysia (Lestari UKM) dan Taman-taman Sabah dengan kerjasama
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar persekutuan; Kementerian
Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Sabah; Balai Seni Lukis
Negara; Muzium Sabah; UMS serta Bahagian Sains Bumi, Pertubuhan
Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Pada persidangan itu, satu deklarasi iaitu Deklarasi Kinabalu mengenai
pembangunan mapan pergunungan telah dibuat dengan tiga strategi utama bagi
membolehkan negara ini menghadapi cabaran masa depan.
Tiga strategi itu meliputi langkah pemuliharaan ekosistem di kawasan
pergunungan, memastikan kesejahteraan masyarakat yang tinggal di
pergunungan serta menggalakkan usaha terbaik pengurusan gunung.
Menerusi pemuliharaan ekosistem di kawasan pergunungan, tindakan yang
disarankan ialah:
* memulihara warisan geologi gunung, landskap serta diversiti biologi
gunung menerusi tindakan sistematik untuk mewujudkan keadaan persefahaman,
pengenalan dan perlindungan.
* memastikan eksploitasi mapan sumber semula jadi gunung seperti bekalan
air segar, bahan galian dan perhutanan.
* memulihara habitat gunung yang `rapuh' dan mudah terganggu menerusi
langkah sistematik bertujuan pengekalan, perlindungan dan penyelenggaraan.
* memastikan masyarakat yang tinggal di pergunungan bertindak sebagai
penjaga kepada sumber di gunung.
Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat yang tinggal di pergunungan
pula, beberapa tindakan disarankan ialah:
* memberi peluang masyarakat memulihara warisan budaya dan mempertingkat
pengetahuan sedia ada masyarakat pribumi.
* memastikan kedudukan ekonomi masyarakat pergunungan menerusi tindakan
melindungi cara hidup mereka.
* memastikan aktiviti pertanian secara mapan dilaksanakan mereka.
* menggalakkan aktiviti rekreasi dan eko pelancongan mapan,
* memastikan perlindungan mencukupi daripada sebarang gangguan bencana
seperti ledakan gunung berapi, tanah runtuh dan banjir.
* memastikan perlindungan mencukupi untuk masyarakat pergunungan dengan
menggalakkan suasana aman daripada konflik bersenjata dan keganasan.
* memperluas tindakan pembangunan mapan pergunungan dengan memasukkan
sekali masyarakat yang tinggal di kaki gunung dalam program berkenaan.
Bagi menggalakkan praktis terbaik pengurusan gunung pula, saranan dibuat
agar:
* mempertingkat kapasiti bangunan menerusi pembangunan manusia dan
sumber penjimatan selain pembangunan infrastruktur dan menguatkuasakan
dasar.
* meningkatkan kesedaran di kalangan pembuat dasar dan orang ramai
mengenai keunikan dan kepentingan ekosistem gunung dan masyarakat
pergunungan.
* mempertingkat perkongsian maklumat antara pihak berkaitan sama ada di
peringkat tempatan atau luar negara.
* memastikan pengurusan cekap terhadap wilayah pergunungan tanpa mengira
sempadan dengan tindakan bersepadu di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.
* menggalakkan penggunaan kos etika terhadap eksploitasi di pergunungan.
* mewujudkan praktis pentadbiran kerajaan yang baik untuk melindungi
gunung dan masyarakat di pergunungan menerusi perancangan bersepadu
ekosistem gunung dan skim pengurusan.
* menggalakkan penyelidikan pemuliharaan ekosistem gunung, warisan
budaya masyarakat pergunungan dan praktis pengurusan baik untuk kawasan
pergunungan.
Pengarah Taman-taman Sabah, Datuk Lamri Ali, berkata deklarasi itu yang
dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wences Angang, pada hari terakhir
persidangan berkenaan, akan dihantar ke Unesco untuk tindakan susulan.
Katanya, deklarasi itu dibuat bagi mengiktiraf kawasan pergunungan
sebagai memiliki nilai unik dan peranan istimewa termasuk kerap berfungsi
membantu perubahan dinamik bumi, cuaca dan habitat yang terdapat di situ,
mempunyai kaitan dengan sejarah bumi, sebagai kawasan tadahan air yang
diperlukan oleh wilayah di hilirannya, memiliki sumber flora dan fauna
yang tinggi, pertanian di tanah tinggi, landskap yang dramatik dan
kewujudan masyarakat pergunungan yang terpencil.
Sehubungan itu, katanya, deklarasi itu memberi penekanan terhadap
objektif bersama, iaitu pembangunan mapan ekosistem di pergunungan serta
memastikan kesejahteraan masyarakat di pergunungan, boleh dilakukan
menerusi tindakan berkongsi sumber dan pengetahuan, menyepadukan projek
dan matlamat di kalangan pihak berkaitan serta mempererat kerjasama
antarabangsa.
Apa yang pasti, deklarasi itu memberi tumpuan menyeluruh dalam usaha
memulihara kawasan pergunungan terutama dalam usaha mempertingkat lagi
kesejahteraan masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan.
Langkah itu sejajar saranan Pembantu Menteri Pelancongan, Alam Sekitar,
Sains dan Teknologi Sabah, Datuk Karim Bujang, yang meminta agar tindakan
untuk memulihara ekosistem kawasan pergunungan di negara ini, khususnya di
Sabah harus mengambil kira usaha bagi membantu masyarakat yang tinggal di
persekitarannya.
Berucap merasmikan persidangan antarabangsa itu, beliau berkata
pendekatan terbaik perlu dilaksana bagi memastikan usaha pemeliharaan dan
pengekalan alam sekitar kawasan pergunungan turut mengambil kira kebajikan
penduduk tempatan.
Katanya, ekosistem kawasan pergunungan mudah terjejas jika dilakukan
sedikit tindakan pencemaran sedangkan usaha memuliharanya mengambil masa
yang lama.
"Pada masa sama, di sebalik kekayaan alam semula jadi pergunungan,
penduduk yang tinggal di persekitaran kebiasaannya memiliki kedudukan
ekonomi dan sosial yang mudah terjejas oleh pelbagai faktor dan ada antara
mereka berada dalam kategori rakyat termiskin.
"Saya akan menjadi lebih berminat untuk mengetahui bagaimana kedudukan
sosial dan ekonomi mereka dapat dipertingkatkan," katanya.
Apapun, deklarasi Kinabalu itu tidak menunggu masa terlalu lama untuk
mempengaruhi keputusan dan tindakan pembuat dasar apabila selepas dua hari
ia diisytiharkan, kerajaan Sabah telah mengambil beberapa langkah untuk
memastikan pemuliharaan dan perlindungan masyarakat yang tinggal di
sekitar Kundasang.
Ia berpunca daripada kertas kerja Ahli Geologi, Prof Dr Ibrahim Komoo,
yang menyatakan kira-kira 70 peratus kawasan di Kundasang dikenali sebagai
kawasan tanah runtuh kerana struktur batuannya yang longgar dan terhasil
daripada pergerakan tanah Trus Madi.
Ketua Menteri, Datuk Chong Kah Kiat, kemudian menubuhkan jawatankuasa
khas bagi mengkaji dan meneliti keadaan di Kundasang terutama kedudukan
resort dan chalet yang didirikan di kawasan cerun yang boleh membahayakan
nyawa penghuninya jika berlaku tanah runtuh.
Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya tegas terhadap
bangunan yang didirikan dalam kawasan berisiko tinggi dan dipercayai
berbahaya kepada penghuninya

Tiada ulasan: