Selasa, 1 Februari 2011

NOTA DEBAT ALA-PAELIMEN

PANDUAN BERBAHAS
1. Strategi Dan Taktikal Memenangi Perbahasan
PADA 4 Ogos 2007 yang lalu, saya telah membentangkan tajuk “Strategi dan Taktikal Memenangi Perbahasan ala-Parlimen” kepada pembahas dan bakal-bakal pembahas yang dipilih dari semua sekolah menengah dalam daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Saya sebenarnya cuba berkongsi pengalaman real saya dan pasukan saya yang pernah menjadi juara, naib juara, tempat ketiga serta kalah dalam beberapa pertandingan bahas sama ada perbahasan konvensional mahupun ala-Parlimen; sama ada sebagai peserta, hakim dan guru pembimbing; sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang; sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan; sama ada semasa saya bergelar pelajar atau pun guru. Tetapi yang lebih penting lagi, saya ingin memberitahu mereka bahawa tempoh beberapa minit mereka berhujah di gelanggang sebenar itulah yang bakal menentukan kejayaan pasukan mereka. Keadaan ini sama dengan pasukan bola sepak yang menerima latihan beberapa bulan di luar negara dan bermain dengan pasukan terhandal dunia, namun kemenangan mereka banyak ditentukan dalam tempoh 90 minit mereka bermain. Hanya pasukan yang dapat berhujah secara real, tanpa menampakkan dengan ketara elemen lakonan, mengemukankan bukti kes dengan matang dan bercakap dengan nada spontan, bersahaja, dan santai sahaja yang mampu “convince” para hakim dan penonton dan seterusnya memenangi sesuatu pertandingan bahas. Hakim akan melihat dengan jelas siapa yang benar-benar menghayati usul, jelas peranan dan fungsi, menguasai pentas, berhujah dengan matang dan berani berdepan dengan situasi sebenar , dan siapa pula yang terikat dengan skrip, gementar apabila berdepan khalayak, tidak berani memandang tepat ke arah lawan, terkekang dengan stail lama(konvensional), menggagah diri untuk menjadi berani dan gagal mengenal pasti dan memanipulasi kelemahan lawan. Saya melihat dalam banyak perlawanan bahas, pembahas akan melontarkan semula apa-apa yang telah mereka sediakan sebelumnya tanpa ada keberanian untuk melakukan perubahan walaupun perubahan yang kecil. Hal yang demikian menjadikan perbahasan itu kaku dan tidak bersahaja.Para pembahas sepatutnya dilatih untuk berfikir bebas tentang sesuatu tajuk, melihat dunia daripada pelbagai perspektif, meneroka pelbagai bidang ilmu dan dilatih dengan kesepontanan sebelum perbahasan berlangsung. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memahami usul/tajuk. Di peringkat ini jangan sibuk dan disibukkan dengan perkara-perkara lain seperti mencari siapa Perdana Menteri, siapa menteri pertama atau kedua. Itu boleh ditentukan kemudian. Biar semua ahli pasukan termasuk peserta simpanan mempunyai kefahaman yang mendalam dan tanpa sedikit pun keraguan tentang kehendak usul. Mereka mesti diberikan masa yang mencukupi dan dibenarkan berbahas sesama mereka sehinggalah mereka menemukan maksud dan kehendak usul yang sebenar. Selepas itu barulah formasi dibentuk dan strategi diatur. Jangan sama sekali menganggap tugas memahami usul sebagai perkara remeh kerana ketidakjelasan dalam aspek ini akan membawa padah kepada pembahas dan pasukannya apabila darjah penghayatan, keberanian dan keyakinan pembahas tidak mencapai tahap optimum. Apabila aspek yang satu ini dihayati, ditokok dengan persiapan-persiapan lain termasuk dari segi isi, formasi, strategi, taktik dan teknik, ketika ini barulah suasana perbahasan yang sebenar dapat dirasai; hakim terpukau, penonton terhibur dan yang patut menang akan menang dan yang kalah akan menerima dan mengakui akan kelemahannya. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan berkongsi banyak lagi rahsia bagaimana memenangi pertandingan perbahasan.
2. Debat Bukan Segala-Galanya
RAMAI orang percaya bahawa pendebat yang baik ialah pendebat yang mempunyai kepintaran akal, selain kepintaran berhujah. Memang benar, tetapi itu hanya sebelum mereka berdebat. Apa yang berlaku, majoriti daripada mereka membawa akal bersama-sama mereka, tetapi disebabkan kepanasan berdebat sebahagian daripada mereka hampir-hampir terlupa untuk menggunakannya. Kadang-kadang mereka sengaja meninggalkannya di luar dewan bagi memastikan mulut mereka lebih laju daripada biasa. Pendebat selalu merasakan musuh sebenar mereka ialah lawan mereka. Tetapi mereka terlupa musuh terdekat bagi seseorang pendebat ialah akal mereka sendiri kerana akal akan membataskan lidah mereka. Sebab itu mereka lebih suka bersahabat dengan lisan mereka ketimbang akal mereka kerana lidah tidak pernah menyekat atau menghalang kemahuan mereka. Lidah mereka akan sentiasa membenarkan. Dan inilah yang mereka mahu. Jika orang kebanyakan melihat dunia melalui mata kasar dan orang alim melihat dunia melalui mata hati, para pendebat pula melihat dunia melalui mulut-mulut mereka yang sentiasa ternganga. Perdebatan yang asalnya digunakan oleh ahli-ahli falsafah untuk mempertahankan pemikiran mereka, yang kemudiannya dimurnikan oleh para ulamak untuk membahaskan sesuatu masalah agama dan perbandingan mazhab, kini bertukar menjadi suatu pembohongan yang dipelihara oleh orang yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bertindak untuk menutup kelemahan sedia ada.
3. Pembahas Simpanan
SAYA ingin beritahu anda bahawa pembahas simpanan adalah orang yang paling penting. Panggilannya sebagai pembahas simpanan, bukanlah alasan untuk seseorang pembahas simpanan lari daripada tugas, atau berbuat sesuka hati mereka. Pembahas simpanan hendaklah dipastikan hadir dalam semua acara latihan dan pertandingan. Pembahas simpanan perlu berlatih dalam semua peranan sama ada sebagai Perdana Menteri, menteri pertama, menteri kedua, ketua pembangkang, pembangkang 1 atau 2 dan sebagai penggulung. Mereka mesti mempunyai kecekapan yang pelbagai dan bersedia pada bila-bila masa untuk menggantikan sesiapa sahaja. Sebab itu pembahas simpanan saya anggap adalah manusia paling genius,bertenaga dan berkebolehan serta bersikap lebih terbuka dalam semua keadaan. Justeru pembahas simpanan mestilah pembahas yang hebat, bukan dipilih sekadar tangkap muat. Pembahas simpanan merupakan ayam tambatan pasukan, dan dikeluarkan pada masa yang tepat. Pembahas simpanan bukan sekadar menggantikan pembahas yang sakit atau yang ada masalah kesihatan, tetapi beliau boleh menggantikan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja jika difikirkan kemasukan beliau membantu kemenangan kepada pasukan. Pembahas simpanan turut berupaya mengatur strategi bagi memenangi sesuatu perlawanan. Dia patut mencatat, merakam dan melihat setiap detik perbahasan itu. Semasa perbahasan berlangsung pembahas simpanan merupakan orang yang paling aktif. Dia patut menyenaraikan semua kelemahan lawan dan semua kekuatan mereka. Sebab itu jangan pandang enteng kepada pembahas simpanan ini.

Tiada ulasan: