Selasa, 1 Februari 2011

MENGANALISA USUL

Dalam perdebatan ala-Parlimen, terdapat beberapa kategori usul yang biasa diberikan untuk dikupas. Kategori usul secara umumnya dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu:

• Usul berasaskan fakta atau isu spesifik.
• Usul humor.
• Usul peribahasa atau simpulan bahasa

Usul berasaskan fakta atau isu spesifik

Usul berasaskan fakta menuntut pendebat mengupas isu berdasarkan keterangan fakta yang nyata bagi menyokong kes mereka. Pendebat perlu mengupas fakta dengan teliti menerusi kajian terhadap sesuatu isu berbangkit. Usul jenis ini merupakan usul yang nyata dan memerlukan pendebat berlawan dengan fakta yang dianalisa. Berikut merupakan tajuk usul yang diberikan mengikut tema spesifik seperti yang telah ditetapkan oleh penganjur:

o Kategori: Kemerdekaan.

Tajuk: Rakyat Malaysia Kurun ke 20 Tiada Semangat Patriotisme.

o Kategori: Sains dan Teknologi.

Tajuk: Teknologi Pengklonan Membawa Mudarat Kepada Kelangsungan

Manusia Sejagat.

o Kategori: Alam Sekitar.

Tajuk: Kemusnahan Alam Tragedi Malapetaka di Alaf Baru.

o Kategori: Kefahaman Islam.

Tajuk: Islam Hadhari suatu pendekatan baru menonjokan imej Islam
Sederhana.

o Kategori: Integriti.

Tajuk: Modal insan berintegriti menjamin kecemerlangan negara.

o Kategori: Ekonomi.

Tajuk: K-Ekonomi tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

Tajuk yang seumpama ini merupakan tajuk yang mana pendebat perlu mengemukakan fakta menyokong terhadap pendirian masing-masing.


Usul Humor

Usul jenis ini menjurus kepada keadaan yang berjenaka dan santai serta mempunyai konsep yang ringan sahaja. Pendebat boleh memilih samaada untuk berdebat menggunakan konsep yang ringan atau kompleks. Contoh usul humor adalah:
o Nobita perlukan Doremon.

o Ultraman lebih gagah daripada Superman.

o Kumbang perlukan bunga.

o Mawi dan Ina perlu bersatu semula.

o Wanita perlukan lipstik.

o Kanak-kanak perlukan anak patung.

Dalam usul yang sebegini, terpulang kepada pasukan untuk berdebat secara santai mahupun mengupas isu dengan cara yang lebih kompleks. Contoh daripada tajuk yang di atas iaitu ‘Mawi dan Ina perlu bersatu semula’. Pendebat boleh terus berbincang kisah

Mawi iaitu Juara Akademi Fantasia 3 dan juga bekas tunangnya secara terus mengikut keadaan yang sebenar.
Dalam hal yang lain pula, jika pendebat merasakan usul perlu dibincangkan secara yang lebih komplek, pendebat boleh memperhalusi tajuk ini dengan menyamakannya dengan hubungan dua hala Malaysia-Singapura. Justeru, di sepanjang perdebatan, pendebat akan menyentuh soal kemungkinan penyatuan Malaysia dan Singapura, pro dan kontra, kebaikan serta keburukannya. Tentu sekali perincian perlu mengambilkira kenapa Mawi perlu di samakan dengan Malaysia dan Ina dengan Singapura atau sebaliknya.

Ada tajuk humor yang tidak boleh dibincangkan secara terus dan pendebat tiada pilihan selain mengupas tajuk tersebut terus kepada isu yang mempunyai perkaitan dengannnya. Contoh tajuk Kumbang perlukan bunga. Tidak mungkin seseorang pendebat ingin bercakap tentang kumbang dan bunga. Dalam hal ini, pendebat perlu terus merujuk kepada kes lain.

Pihak kerajaan berhak menentukan sama ada pasukan kerajaan ingin mengupas usul ataupun berdebat secara terus bersesuaian dengan usul. Justeru pihak pembangkang perlu mengikut landasan seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan.


Usul Peribahasa atau Simpulan Bahasa

Usul yang berupa peribahasa atau simpulan bahasa ini bertujuan menguji tahap kecekapan pendebat. Usul peribahasa dan simpulan bahasa selalunya tidak boleh didebatkan menurut penakrifan literal. Pendebat biasanya akan menggariskan sesuatu konsep tertentu untuk mengenengahkan landasan bagi membahaskan maksud simpulan bahasa dan peribahasa yang diperdebatkan. Kemahiran di perlukan untuk memahami makna peribahasa atau simpulan bahasa dengan tepat serta kemahiran mengupas dan meletak konteks lain yang relevan terhadap sesuatu isu yang berkaitan. Contoh usul simpulan bahasa atau peribahasa adalah:

o Dengar guruh di langit, air tempayan dicurah jangan.

o Rezeki secupak takkan jadi segantang.

o Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

o Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

o Kemusnahan Alam Sekitar: Sudah terhantuk baru terngadah.

o Badan Bukan Kerajaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar: Seperti melepaskan batuk di tangga.
o Melayu: Hidup segan, mati tak mahu. KUPASAN USUL
Dalam debat ala-Parlimen, pendebat perlu memahami apakah kehendak usul agar setiap kupasan tidak tersasar daripada landasan yang sebenar. Usul boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
• Usul perbandingan kebaikan dan keburukan.

• Usul realiti.

• Usul cadangan, futuristik atau andaian. Usul perbandingan kebaikan dan keburukan.
Usul sebegini meminta pendebat membuat perbandingan antara baik dan buruk juga lebih atau kurang. Frasa baik atau buruk serta lebih atau kurang itu dengan sendiri menyatakan bahawa wujud elemen perbandingan di dalam usul tersebut. Dalam usul perbandingan, sudah pasti ada dua entiti yang perlu dibandingkan. Contohnya, di antara A dan B, yang mana lebih cantik? Berikut adalah contoh tajuk yang menuntut pendebat melakukan perbandingan:
o Madonna lebih baik daripada Maradona.

o Survival bangsa: Kekuatan ekonomi lebih diperlukan daripada kekuatan politik.

o Wanita bukan pemimpin yang berkesan.

o Globalisasi lebih menguntungkan negara maju.


Usul realiti

Pendebat perlu membentangkan hujah berdasarkan keadaan yang berlaku pada masa ini. Segala penjelasan perlulah berdasarkan fakta kontemporari. Usul yang mengupas realiti memerlukan tahap penguasaan isu yang menyeluruh kerana pendebat perlu memanipulasi keadaan walau dalam apa cara sekalipun untuk kepentingan pasukan. Contoh usul yang memerlukan kupasan realiti:
o Sistem Pendidikan di Malaysia gagal memertabatkan negara di mata dunia.

o Industri Perfileman Negara gagal.

o Sekolah Kebangsaan berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Usul cadangan, futuristik atau andaian
Usul yang berkaitan cadangan meminta kupasan daripada pendebat berdasarkan bukti yang ada pada masa ini. Pendebat boleh mengeluarkan statistik semasa yang membuktikan bahawa cadangan usul tersebut boleh diterimapakai atau tidak pada masa yang akan datang. Usul seumpama ini adalah berdasarkan andaian pendebat melalui sokongan dan bukti yang kuat terhadap kes yang dibentangkan. Contoh usul andaian adalah:

o Pertubuhan Persidangan Islam perlu dirombak semula.

o Tulisan Jawi perlu diwajibkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan.

o Malaysia tidak mampu menyertai Piala Dunia.

o Sesekali, kita perlu menoleh ke belakang.

Tiada ulasan: